
SANDAKAN – Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir menegaskan komitmen kerajaan dalam memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak melalui sokongan berterusan terhadap program seperti Tabika Perpaduan.
Beliau berkata, pendidikan awal kanak-kanak sangat penting dalam membentuk generasi masa depan yang cemerlang dan memastikan setiap kanak-kanak mendapat peluang yang adil.
“Pendidikan awal bukan sahaja membentuk keperibadian kanak-kanak tetapi juga menyediakan asas penting untuk pembelajaran sepanjang hayat.
“Tabika Perpaduan berperanan dalam melahirkan kanak-kanak yang bukan sahaja cerdas dalam akademik tetapi juga mempunyai nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, bertoleransi dan bertanggungjawab.
“Pendidikan awal adalah titik permulaan yang amat penting dalam perjalanan pendidikan kanak-kanak,” katanya semasa majlis penyampaian sijil Tabika Perpaduan Bahagian Sandakan tahun 2024/2025 di Amanda Balairung, Aisyadelia Cottage, di sini pada Sabtu.
Teks ucapan beliau dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Mokran Ingkat.
Menurut beliau, Tabika Perpaduan bukan hanya sebuah institusi pendidikan tetapi platform penting dalam memupuk perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum.
Beliau berkata, inisiatif ini selaras dengan semangat Rukun Negara yang menjadi asas kepada keharmonian negara.
Pada majlis itu juga, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada para guru Tabika Perpaduan atas dedikasi mereka dalam mendidik dan membimbing anak-anak serta kepada ibu bapa yang turut memainkan peranan besar dalam pendidikan anak-anak mereka.
Majlis itu menyaksikan beberapa anugerah diberikan kepada pelajar yang menunjukkan prestasi cemerlang termasuk Tokoh Murid dan Projek Inovasi ABM.
Katanya, ia menjadi bukti bahawa anak-anak Malaysia mampu mencapai kejayaan jika diberi peluang dan sokongan yang sewajarnya.







