
PENAMPANG – Seramai 200 murid menerima sumbangan cermin mata dan dua buah rumah ibadat menerima peruntukan khas sempena Majlis Rumah Terbuka Krismas Pusat Khidmat Ahli Parlimen Penampang di Buhavan Square, Donggongon di sini, pada Sabtu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ewon Benedick dalam majlis rumah terbuka itu menyampaikan sumbangan berkenaan kepada tiga buah sekolah di daerah Penampang yang terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Peter Majuntin, SMK Limbanak dan Sekolah Kebangsaan (SK) Babagon.
“Bersempena majlis ini, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) salah satu agensi di bawah kementerian saya telah menyampaikan sekitar 200 buah cermin mata kepada murid-murid sekolah.
“Para penerima ini adalah yang telah menjalani pemeriksaan kesihatan mata dengan panel yang telah turun ke lapangan.
“Ini merupakan satu tanggungjawab korporat sosial yang sentiasa dilaksanakan oleh Kuskop melalui agensi-agensi kita,” katanya ketika ditemui pada sidang media.
Pada majlis sama, Ewon turut menyampaikan replika cek peruntukan khas Perdana Menteri kepada Pertubuhan Pengurusan Kuil Sri Subramaniar Kem Lok Kawi sebanyak RM150,000 dan kepada St. Catherine Laboure Church Putatan bernilai RM200,000.
Katanya, penyampaian dua sumbangan adalah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada dua rumah ibadat tersebut.
“Ini adalah selain daripada yang telah disampaikan kepada rumah-rumah ibadat sebelum ini termasuklah gereja St Michael untuk membina Tadika Harmoni dan beberapa gereja di daerah ini yang turut menerima bantuan Kerajaan Persekutuan melalui program Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan beberapa bulan lalu.
“Saya bersama rakan pimpinan Pakatan Harapan dan Pusat Hikmat Parlimen Penampang mengadakan rumah terbuka sempena Sambutan Krismas dengan kehadiran masyarakat yang saya doakan agar persaudaraan, persahabatan dan kedamaian negara ini dapat diteruskan lebih baik bagi tahun berikutnya,” ujarnya.



