TINDAKAN Pas menyeru ahli partinya untuk menyumbang dana membantu wakil rakyatnya membayar saman fitnah disifatkan sebagai tidak wajar.
Bekas Ahli Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan Pas itu seperti menggalakkan ahlinya untuk menyuburkan lagi gejala fitnah di kalangan ahli parti itu.
Tegasnya, mengutip dana daripada masyarakat untuk membayar saman sivil kerana perlakuan dosa fitnah adalah sangat tidak wajar.
“Dosa fitnah dan mereka-reka cerita adalah dosa besar yang dijadikan inti pati aku janji para sahabat dengan Nabi SAW sebelum hijrah.
“Memberi sumbangan untuk menampung kesalahan itu tidak berpahala bahkan tanda meredai perlakuan dosa fitnah,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Pada 4 Disember Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan kenyataan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad yang mengaitkan veteran serta pemimpin DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Teresa Kok mempunyai pertalian dengan komunis sebagai fitnah dan tidak disokong bukti.
Mahkamah turut mengarahkan Siti Mastura membayar ganti rugi sebanyak RM300,000 kepada Kit Siang, Guan Eng (RM250,000) dan RM200,000 kepada Teresa Kok, selain menetapkan RM25,000 dibayar kepada setiap plaintif sebagai kos.
Siti Mastura juga diperintahkan membayar kos guaman sebanyak RM25,000 setiap seorang untuk ketiga-tiga plaintif.
Mengulas lanjut, Khairuddin yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO berkata, dana sumbangan awam patut dimanfaatkan untuk aktiviti seperti kebajikan, membantu golongan yang dizalimi, dakwah dan pendidikan.
Tegasnya, dana sumbangan awam bukannya untuk membantu orang yang menzalimi maruah orang lain dengan fitnah dan cerita rekaan meskipun bukan Islam hatta musuh sekalipun.
Kelmarin, tersebar surat pekeliling yang dihantar kepada pemimpin utama pusat, negeri dan sayap Pas memohon ‘derma jihad’ bagi membiayai kewajipan Siti Mastura membayar RM825,000 dengan kadar segera, yang diperintahkan oleh mahkamah.
Menurut surat itu, kegagalan membayar saman akan menyebabkan plaintif mengambil tindakan prosiding kebankrapan yang boleh menyebabkan Siti Mastura hilang kelayakan sebagai wakil rakyat, dan kerusinya akan dikosongkan.







