Pelajar di Gaza hidup dalam trauma, ketakutan

GAZA – Seramai 12,799 pelajar terbunuh dan 20,942 cedera sejak bermulanya pencerobohan Israel ke atas Semenanjung Gaza dan Tebing Barat pada 7 Oktober 2023, kata Kementerian Pendidikan Gaza.

Menerusi satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan bahawa jumlah pelajar yang terbunuh di Semenanjung Gaza sejak permulaan pencerobohan telah melebihi 12,681 orang, manakala 20,311 yang lain telah tercedera, lapor Agensi WAFA.

Di Tebing Barat, seramai 118 pelajar terbunuh dan 631 lagi cedera, selain 538 orang telah ditahan malah kementerian itu turut mengesahkan bahawa seramai 598 guru dan pentadbir terbunuh, manakala 3,801 lagi cedera di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, dengan lebih 158 orang ditahan di Tebing Barat.

Kementerian turut memaklumkan bahawa sebanyak 425 buah sekolah kerajaan, universiti, dan bangunan miliknya, serta 65 sekolah di bawah naungan Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), telah dibom dan dirosakkan di Semenanjung Gaza.

Selain itu, ia mengesahkan bahawa seramai 788,000 pelajar di Semenanjung Gaza masih tidak dapat menghadiri sekolah dan universiti sejak permulaan pencerobohan, sementara kebanyakan pelajar mengalami trauma psikologi dan berdepan dengan keadaan kesihatan yang sukar.

Dalam serangan terbaharu di tengah Semenanjung Gaza, 10 orang awam daripada satu keluarga, termasuk kanak-kanak dan wanita, terbunuh dan yang lain cedera selepas pesawat perang penjajah Israel menyasarkan sebuah apartmen milik keluarga Al-Turk berhampiran tempat letak kereta Jabalia di kawasan Dataran Palestin pada waktu subuh.

Serangan tersebut bukan sahaja menyebabkan kemusnahan besar-besaran kepada struktur bangunan tersebut malah operasi menyelamat dan pemindahan juga sukar dilakukan berikutan pengeboman yang tiada kesudahan.

Satu perkembangan yang memilukan di utara Semenanjung Gaza apabila tentera rejim Israel meneruskan pencerobohan mereka dengan menyasarkan Hospital Kamal Adwan.

Dron melancarkan lebih daripada 10 bom ke arah hospital itu, sementara rejim menempatkan tiga bom letupan di kawasan sekitarnya.

Hospital itu kini mengalami gangguan bekalan elektrik sepenuhnya serta kekurangan ubat-ubatan dan bekalan perubatan akibat pengeboman berulang dan sekatan yang dikenakan di kawasan tersebut.

Sementara itu, pengeboman artileri secara intensif terus berlaku di utara kem Nuseirat dan timur bandar Khuza’a di Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza, manakala bandar Rafah sedang menyaksikan aktiviti kemusnahan dan perobohan rumah-rumah penduduk yang berterusan.

Di barat daya Semenanjung Gaza, tentera rejim telah melepaskan tembakan bertalu-talu di kawasan Tal al-Hawa, sementara kapal perang menyasarkan kawasan sekitar Bulatan Al-Alam, Ezbet al-Nada, dan kawasan al-Firdaws di barat Rafah.

Rejim Israel telah meneruskan pencerobohan mereka di Semenanjung Gaza melalui serangan udara, darat, dan laut sejak 7 Oktober 2023, yang telah mengakibatkan kematian 45,028 orang awam dan mencederakan 106,962 yang lain.

Related Posts

Had pembelian diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan dimansuhkan, mekanisme MyKad berkuat kuasa

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini mengumumkan pemansuhan kawalan penjualan diesel ke atas kenderaan pengangkutan darat di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
700,000 pemilik kenderaan persendirian nikmati diesel bersubsidi mulai esok

PUTRAJAYA – Kerajaan memperluas pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) dengan membolehkan kira-kira 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian di seluruh negara menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter mulai esok.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Rekod cemerlang Kerajaan MADANI beri nilai tambah kepada Pakatan Harapan – Penganalisis

Rekod cemerlang Kerajaan MADANI beri nilai tambah kepada Pakatan Harapan – Penganalisis

PRN Johor: Jentera dan penyokong Pas, Bersatu boikot calon Pejuang

PRN Johor: Jentera dan penyokong Pas, Bersatu boikot calon Pejuang

Jumlah murid Melayu daftar SJKC dan SJKT meningkat 

Jumlah murid Melayu daftar SJKC dan SJKT meningkat 

2 gol Mbappe bantu Perancis singkir Sweden

2 gol Mbappe bantu Perancis singkir Sweden

Mexico akhiri badi 40 tahun, kalahkan Ecuador 2-0

Mexico akhiri badi 40 tahun, kalahkan Ecuador 2-0

Lebih 1,000 pelajar SMK Pujut terima manfaat pemeriksaan mata percuma

Lebih 1,000 pelajar SMK Pujut terima manfaat pemeriksaan mata percuma