IPOH – Kerajaan Negeri Perak terus komited dalam usaha meningkatkan kualiti liputan talian telekomunikasi melibatkan beberapa lokasi dikenal pasti sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di negeri ini.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, kerajaan negeri turut mengambil langkah terutama bagi mengatasi masalah titik buta (blind spot) komunikasi.
Ujarnya, antara lokasi titik buta yang telah dikenal pasti adalah di kawasan selepas Terowong Menora dan Gua Tempurung.
“Kerajaan negeri sedang mengambil langkah berhubung masalah liputan telekomunikasi di sepanjang lebuh raya PLUS di Perak.
“Kita telah kenal pasti dua kawasan titik but komunikasi iaitu selepas Terowong Menora dan Gua Tempurung.
“Untuk Gua Tempurung, penyedia perkhidmatan bersetuju untuk memasang satu menara pencawang di situ dan kita akan membuat permohonan kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi kerajaan negeri membuat tindakan susulan serta meminta mempercepatkan proses tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau inisiatif penambahbaikan liputan telekomunikasi dan kemajuan kerja di Terowong Menora (arah utara) Lebuhraya PLUS.

Mengulas lanjut, Mohd Azlan berkata, isu gangguan liputan Internet di dalam Terowong Menora di kedua-dua arah sejak setahun lalu akibat kerosakan peranti penguat isyarat (repeater) telah diselesaikan.
Ujarnya, peranti penguat isyarat jenama baharu yang berteknologi tinggi itu dipasang di pintu masuk terowong di kedua-dua arah.
“Alhamdulillah, isyarat ketersambungan (internet) dalam Terowong Menora dan kawasan sekitarnya telah pulih. Semua talian syarikat komunikasi seperti U Mobile, Maxis dan sebagainya telah ada liputan,”ujarnya.
Sebelum ini, terdapat rungutan daripada orang ramai berhubung masalah liputan talian telekomunikasi yang kurang baik apabila memasuki Terowong Menora.







