MANILA – Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr memaklumkan kerajaan memindahkan lebih 45,000 penduduk dari kampung berhampiran Gunung Berapi Kanlaon yang aktif, selepas ia meletus awal minggu lalu, lapor Xinhua.
Marcos berkata, kerajaan menyasarkan untuk memindahkan kira-kira 84,000 penduduk yang berada dalam zon bahaya sejauh enam kilometer dari gunung berapi itu.
Beliau berkata, kerajaan bersedia membantu penduduk terjejas akibat letusan gunung berapi itu, yang menyebabkan beberapa kampung diselubungi abu serta mencemari sumber air minuman komuniti terbabit.
“Kami akan bertindak. Sebarang peningkatan kerosakan dan kemusnahan akan dihadapi dengan tindak balas lebih baik daripada kerajaan,” kata Marcos.
Gunung Kanlaon, yang terletak di antara wilayah Negros Oriental dan Negros Occidental di Pulau Negros, Filipina Tengah, menghamburkan asap tebal setinggi lebih 4,000 meter ke udara pada petang Isnin lalu.
Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina memberi amaran kemungkinan berlakunya letusan lebih besar, sekali gus menggesa penduduk dalam zon bahaya dan kawasan sekitarnya untuk berpindah ke tempat selamat.
Marcos turut merayu kepada penduduk, terutama mereka yang enggan meninggalkan rumah dan ladang, supaya segera berpindah ke kawasan selamat, termasuk pusat pemindahan sementara seperti sekolah yang diubah menjadi tempat perlindungan.
Gunung Kanlaon, satu daripada 24 gunung berapi paling aktif di negara itu, sudah meletus lebih 40 kali sejak 1866, termasuk yang terbaharu pada Jun tahun ini.






