
KOTA KINABALU – Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengutamakan siasatan mengenai kes skandal membabitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang tular sejak 9 November lepas.
Menurut Setiausaha DAP Sabah, Vivian Wong, sejak tularnya kes skandal tersebut pihaknya membuat pemantauan teliti pekembangan perkara itu.
“Sudah sebulan sejak skandal melibatkan beberapa ADUN Sabah mula didedahkan oleh Malaysiakini pada 9 November 2024.
“DAP Sabah telah memantau dengan teliti perkembangan berkaitan perkara ini dan melihat siaran rakaman baru-baru ini dengan penuh serius.
“DAP Sabah menyokong penuh SPRM dalam menjalankan siasatan yang teliti dan saksama.
“Kami menggesa SPRM untuk mengutamakan kes ini dan memastikan ia dikendalikan dengan ketelusan dan integriti,” katanya menerusi kenyataan media di sini pada Isnin.
Jelasnya, sumber Sabah adalah aset berharga milik rakyat Sabah dan generasi akan datang maka dengan itu DAP secara konsisten memperjuangkan keutamaan sumber mineral Sabah untuk industri hiliran bagi memaksimumkan nilainya.
Dalam pada itu, katanya DAP Sabah turut mengiktiraf dan menghargai tindakan tegas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam memastikan tiada lesen melombong dikeluarkan.
Katanya lagi, pendirian DAP Sabah tetap teguh sebagai sebahagian daripada kerajaan menentang rasuah dalam apa jua bentuk dan percaya kepada penyiasatan yang adil.





