
ALOR SETAR – Kementerian Kewangan (MOF) pada hari ini telah menghantar seramai 120 ahli pasukan Skuad Ihsan Madani ke Alor Setar, Kedah bagi membantu penduduk yang terkesan dengan musibah banjir.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Amir Hamzah, skuad yang terdiri daripada gemblengan tenaga kerja dari MOF, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), CIMB Bank dan GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN) .
Katanya, kesemua mereka yang terlibat itu bertujuan bagi melakukan kerja pembersihan di Sekolah Kebangsaan (SK) Lengkuas, SK Menanti, SK Seri Amar Di Raja dan Klinik Desa Sungai Baru.
“Program ini merupakan inisiatif MOF sebagai tanda kebersamaan kementerian dengan komuniti yang diuji dengan musibah. Selain itu, ia juga bertujuan menyemarak semangat tolong-menolong antara agensi kerajaan, syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk turut menyinsing lengan membantu mangsa terjejas banjir.
“Selain dari itu, tujuan program pembersihan ini adalah bagi membolehkan bantuan disampaikan dengan segera terus kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
“Kerajaan sentiasa berusaha memastikan bahawa mereka yang terkesan dengan musibah seperti banjir ini diberikan bantuan dengan segera tanpa banyak birokrasi supaya mereka boleh segera kembali kepada kehidupan harian mereka.
“Selain itu, kita juga ingin mengukuhkan semangat sebagai satu bangsa yang sentiasa prihatin dan tolong-menolong dengan mereka yang dalam kesusahan, ibarat pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing,” tambah beliau lagi.
Menurutnya lagi, kesempatan ini juga diambil bagi meninjau kerja-kerja pemulihan banjir di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim serta melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Gunung dan PPS SK Sri Gunung.
Pada lawatan tersebut, MOF juga telah menyampaikan sumbangan penggantian permaidani bagi Masjid Suka Menanti dan Masjid Kariah Derang.
Manakala sebanyak 1,300 bantuan bakul makanan turut diberikan kepada mangsa banjir di PPS SK Gunung dan PPS SK Sri Gunung.
Bantuan lain termasuk keperluan pembersihan diri, tilam, tikar, penggantian peralatan rosak di masjid, jet air, but kalis air, sarung tangan dan topeng muka untuk kegunaan semasa kerja-kerja pembersihan.
Skuad Ihsan Madani MOF diaktifkan bagi misi pasca banjir dalam membantu aspek pembersihan, penghantaran bantuan makanan serta bantuan lain yang bersesuaian.






