
SATIRA atau sindiran dan parodi bukan lagi dikategorikan sebagai elemen palsu yang disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) sekiranya pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 588 diluluskan, kata Syahredzan Johan.
Menurut Ahli Parlimen Bangi itu, berdasarkan cadangan pindaan Akta 588, setiap elemen seperti lucah, sumbang, palsu, mengancam dan jelik sifatnya akan dimasukkan huraian malah kandungan berbentuk satira dan parodi juga dianggap sebagai fiksyen.
“…Kandungan berbentuk satira atau parodi atau dalam keadaan yang jelas bahawa ia ialah fiksyen, adalah tidak palsu, kandungan yang ‘jelas’ merupakan fiksyen, juga tidak memenuhi elemen palsu.
“Maknanya, sekiranya RUU ini diluluskan, hantaran berbentuk satira dan parodi, seperti yang dihantar oleh Fahmi Reza lapan tahun lepas, tidak akan terangkum dalam elemen ‘palsu’ yang menjadi elemen kesalahan dalam Seksyen 233,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook.
Jelasnya, dalam hal satira dan parodi, dengan pembentangan RUU ini, kerajaan mengiktiraf bahawa keduanya adalah suatu bentuk penyampaian kritikan atau ulasan yang sah dan bukannya jenayah yang perlu dihukum.
“Ada banyak lagi huraian-huraian yang dicadangkan bagi memperjelaskan elemen-elemen Seksyen 233 malah elemen jelik mempunyai ambang yang lebih tinggi untuk menjadi jenayah, bukan setakat ‘jelik’ sahaja tetapi jelik yang ‘melampau’.
“Dalam hari-hari yang mendatang, RUU akan hebat diperkatakan dan dibincangkan massa dan akan ada yang setuju dan akan ada yang bantah namun jika pindaan ini diluluskan, satira dan parodi dalam seni dan sastera akan lebih dilindungi. Inilah yang sepatutnya,” katanya.
Sebelum ini, Syahredzan mewakili aktivis dan pereka grafik Fahmi Reza yang telah didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) atas dakwaan membuat hantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain.
Hantaran yang dimaksudkan itu adalah parodi kepada notis yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bermaksud sebagai kritikan terhadap suruhanjaya dan pihak berkuasa ketika itu.

Syahredzan berkata pertuduhan terhadap Fahmi adalah berdasarkan hujah bahawa MCMC tidak pernah mengeluarkan notis sedemikian, dan oleh itu, hantaran tersebut dianggap “palsu”.
Beliau berkata pembelaan utama mereka ialah hantaran Fahmi di laman Facebook adalah satu bentuk parodi dan tidak layak diklasifikasikan sebagai ‘palsu’ di bawah Seksyen 233 atau disabitkan kesalahan.
Beliau berkata, selepas hakim mahkamah sesyen mendapati kes prima facie telah ditubuhkan, memutuskan walaupun hantaran tersebut adalah parodi, tidak ada peruntukan di bawah Akta 588 yang mengiktiraf parodi sebagai pembelaan atau pengecualian kepada kesalahan di bawah peruntukan itu.
Mahkamah sesyen mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM30,000 kepada Fahmi, serta dikenakan hukuman enam bulan penjara sekiranya gagal.
Fahmi membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi, yang akhirnya menggantikan hukuman itu dengan mengetepikan hukuman penjara dan mengurangkan denda kepada RM10,000, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman Mahkamah Tinggi.







