
KOTA KINABALU – Normah Datu Harun berterima kasih dan memohon agar sumbangan orang ramai dihentikan kerana dana sebanyak RM40,000 berjaya dikumpul untuk membawa pulang jenazah kakaknya, Hanalin Datu Harun yang meninggal dunia di Hospital Chungmu Asan, Korea Selatan.
Menurut beliau, Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Yusof Khan Bahadar tampil memberi bantuan segera kepada keluarganya iaitu sebanyak RM50,000.
“Alhamdulillah dengan bantuan kilat daripada Datuk Ghulam menderma sebanyak RM20,000.
“Semalam Datuk Gulam datang sendiri di rumah untuk menyerahkan sumbangan beliau.
“Manakala pagi tadi, kami menerima sumbangan dari YKS yang datang untuk menyerahkan sumbangan iaitu sebanyak RM30,000.
“Target kita untuk mengumpul dana sudah mencukupi,” kongsinya ketika dihubungi wartawan TMP di sini pada Rabu.
Sehubungan itu, Normah menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang membantu khususnya pihak YKS dan Datuk Ghulam.
Katanya, jenazah kakaknya akan dibawa balik ke Sabah pada Jumaat ini atau Isnin depan.
Difahamkan, arwah Hanalin, 39, mengalami sakit gastrik yang teruk selama sebulan sehingga terpaksa berhenti kerja kemudiannya meninggal dunia di Hospital Chungmu Asan, Korea Selatan pada Ahad lepas.





