
KANGAR – Seramai 50 mangsa banjir di kawasan Arau dan Padang Besar dipindahkan ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan hujan berterusan sejak semalam.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md. Daud berkata, dua PPS tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Nangka di Arau dan SK Titi Tinggi di Padang Besar.
“PPS SK Guar Nangka mula dibuka pada pukul 2.30 petang dengan menempatkan sembilan mangsa daripada dua keluarga dari Kampung Rambai sehingga pukul 4.51 petang tadi.
“Manakala PPS SK Titi Tinggi dibuka sekitar pukul 4 petang bagi menempatkan 41 mangsa daripada 11 keluarga dari Kampung Titi Tinggi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Mohd. Izaimi, pembukaan PPS itu dilakukan berikutan hujan lebat berterusan melebihi 24 jam yang menyebabkan beberapa kawasan rendah mula dinaiki air.
“Pasukan penyelamat dan bantuan telah digerakkan ke kawasan terjejas bagi memastikan proses pemindahan berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini,” jelasnya.
Tambah beliau, pihaknya sentiasa memantau situasi semasa mangsa banjir dinasihatkan untuk mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengutamakan keselamatan masing-masing.




