
PENAMPANG – Setiausaha Politik kepada Menteri Ekonomi, Che Zam Hamzah mengalu-alukan rakyat untuk merebut peluang memohon Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) yang disediakan oleh Kementerian Ekonomi.
Menurutnya, IKR merupakan satu idea baharu oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mahu melihat bahawa rakyat biasa juga boleh membuat pemohonan untuk kemudahan mereka.
“Seperti dimaklumkan, projek IKR ini adalah untuk kemudahan awam bagi rakyat biasa dan kalau layak akan diluluskan seterusnya dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Mudah-mudahan lebih banyak permohonan dibuat tahun hadapan dan lebih banyak IKR diluluskan di Penampang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan projek IKR di Taman Formosa, di sini pada Isnin.
Jelasnya, permohonan IKR merangkumi projek membaiki dewan serba guna, rumah ibadat dan perparitan termasuk kemudahan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Pada masa sama, beliau mengakui bahawa mesej mengenai IKR ini kurang sampai kepada rakyat memandangkan ia masih baharu lagi.
Menurut Che Zam, sepanjang jelajahnya ke seluruh negara, rata-rata rakyat kurang cakna info kemudahan IKR ini.
“Jadi saya akui dan perlu diperbaiki kerana ini perkara baharu yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam kerajaan.
“Ini merupakan idea baharu daripada Menteri Ekonomi yang mahu melihat bahawa rakyat biasa boleh memohon IKR, maksud saya daripada rakyat kepada rakyat,“ kata beliau.
Tambahnya, rakyat yang berminat boleh memohon menerusi laman web https://ikr.ekonomi.gov.my.






