
GAZA – Situasi rakyat Palestin yang berada di Jabalia semakin tersepit apabila bukan sahaja bekalan keperluan asas seperti makanan, minuman dan perubatan disekat malah mereka terus sengsara akibat gangguan telekomunikasi yang memutuskan hubungan dengan dunia luar.
Syarikat Telekomunikasi Palestin (Kumpulan Paltel) mengumumkan gangguan sepenuhnya perkhidmatan internet di kawasan utara Gaza, yang telah mengalami pembantaian berterusan dan pengusiran paksa rejim Israel selama 15 hari berturut-turut.
Dalam satu kenyataan, syarikat tersebut berkata, gangguan ini melibatkan sebahagian besar kawasan di utara Gaza yang mana sebelum ini hanya mengalami gangguan ketiadaan sambungan sementara tetapi kini perkhidmatan terputus sepenuhnya.
Gangguan komunikasi dan internet di beberapa kawasan di kem Jabalia bukan sahaja menambah derita malah menyukarkan penduduk untuk berhubung dengan pasukan pertahanan awam dan perkhidmatan perubatan.
Sejak bermulanya pencerobohan rejim Israel keatas Gaza pada 7 Oktober tahun lalu, perkhidmatan komunikasi dan internet telah terganggu beberapa kali akibat pengeboman intensif yang menjejaskan infrastruktur rangkaian komunikasi dan kekurangan bahan api untuk menggerakkan perkhidmatan.
Lebih menyedihkan, pekerja yang bertungkus-lumus untuk memulihkan gangguan terbabit turut dijadikan sasaran serangan kejam rejim sehingga beberapa orang pekerja syarikat Paltel telah syahid semasa bertugas.
Akhirnya, disebabkan oleh gangguan perkhidmatan internet dan telefon yang berterusan di utara Gaza, wartawan menghadapi kesukaran besar untuk melaporkan perkembangan di lapangan susulan situasi pencerobohan yang berterusan.
Dalam masa sama, situasi di Jabalia dan sekitarnya yang menghadapi pengepungan selama hampir separuh bulan itu, semakin memburuk apabila sistem kesihatan di kebanyakan kawasan di utara Gaza sedang menghadapi kemusnahan, penyiksaan, dan genosid oleh rejim Israel.
Marwan Al-Hams, pengarah hospital di Gaza, dalam satu sidang media memaklumkan bahawa pesakit dan mangsa yang cedera di utara Gaza tidak dapat diselamatkan akibat ketiadaan ubat dan rawatan perubatan yang khusus.
Beliau menjelaskan bahawa hospital-hospital di utara tidak mampu memberikan perkhidmatan perubatan disebabkan oleh bilangan orang yang cedera terlalu ramai, sehingga tiada ruang untuk merawat malah doktor turut buntu apabila terpaksa memilih pesakit yang cedera parah dan kes kecemasan sahaja dahulu untuk dirawat.
Al-Hams mengharapkan sinar bantuan dari segi pembekalan bahan bakar secepat mungkin kepada hospital-hospital tersebut yang mana sekiranya kekurangan ubat dan barangan perubatan di semua hospital di utara berterusan, nyawa mereka berada dalam bahaya.
“Israel sedang memusnahkan utara Gaza sepenuhnya terutamanya kawasan Jabalia, yang berada di bawah kepungan dan pengeboman yang berterusan, dengan rumah-rumah dirobohkan ke atas penduduknya serta orang ramai terbunuh dalam pembunuhan besar-besaran,” katanya.









