
SEBANYAK 544 entiti di bawah ekosistem Badan Berkanun Persekutuan (BBP) akan diteliti semula bagi memastikan tujuan penubuhannya tidak tersasar dan bertindih peranannya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menubuhkan Pejabat Penyelaras Rasionalisasi BBP bagi menelusuri semula hala tuju, keupayaan kewangan serta pertindihan peranan.
“Terkait tatakelola BBP, Garis Panduan Pengurusan dan Tatakelola BBP sudah disediakan supaya badan berkanun mencapai tujuan penubuhan dan tidak tersasar daripada tujuan asal.
“Sekitar 544 entiti di bawah ekosistem BBP terbabit dan turut diperluas merangkumi Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG),” katanya.
Dalam pada itu, pemberdayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan terus diperhebat bagi menyokong usahawan tempatan menembusi pasaran eksport.
Anwar berkata, Khazanah Nasional Bhd akan melancarkan Program Syarikat Mid-Tier dengan dana RM1 bilion bertujuan menyediakan pembiayaan yang menyokong pembinaan keupayaan syarikat tempatan.
“Bagi mendorong pengeksport tempatan memperluas operasi mereka ke pasaran luar, RM750 juta disediakan di bawah Skim Insentif Pemampanan Pengeksport oleh EXIM Bank.
“RM40 juta juga disediakan di bawah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) sebagai geran bayaran balik bagi membantu pengeksport Malaysia mempromosi produk dan perkhidmatan buatan Malaysia di pentas antarabangsa khususnya meneroka pasaran baharu di Afrika, Amerika Latin, Timur Tengah,” katanya membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

