KUANTAN – Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menerima sumbangan enam kenderaan baharu daripada Kerajaan Pahang.
Majlis penyerahan kenderaan itu diadakan hari ini di pekarangan Majlis Daerah Bentong, dekat Bentong.
Penyerahan kenderaan itu dilakukan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kepada wakil daripada JAIP.
Wan Rosdy melalui hantaran di Facebook berkata, kenderaan berkenaan untuk kegunaan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) bagi tujuan menegakkan syiar Islam di negeri ini.
“Pejabat agama yang menerima kenderaan ini adalah PAID Bandaraya Kuantan, PAID Kuantan Barat, PAID Jengka, Maran, Bentong dan Pekan,” katanya.
Wan Rosdy berharap kenderaan itu akan memberi manfaat kepada petugas di pejabat agama terbabit dalam menjalankan tugas mereka.







