PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara memerlukan sedikit masa untuk melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Perdana Menteri mengakui GST adalah sistem percukaian paling telus, efisyen dan mampu menyumbang kepada pendapatan negara, namun ia hanya boleh dilaksanakan semula selepas nilai ambang pendapatan ditingkatkan.
“Kalau laksanakan GST sekarang, semua kena bayar, yang kaya dan yang miskin, … saya tidak boleh (terima) … berikan kita masa beberapa tahun lagi.
“Saya faham dan mengkaji sejak sedekad lalu bahawa GST adalah sistem cukai paling efisyen dan memberi kelebihan kepada kerajaan mengutip pendapatan.
“Namun berikan kita masa untuk meningkatkan ekonomi terlebih dahulu dan nilai ambang pendapatan kepada RM3,000 atau RM4,000 minimum,” katanya semasa berucap pada majlis Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-78, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustri Cina Malaysia (ACCIM), hari ini.
Penganalisis menjangkakan kerajaan tidak akan memperkenalkan cukai baharu dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Jumaat ini.
Sejak Rang Undang-undang GST dimansuhkan pada 2018, satu rang undang-undang cukai penggunaan baharu perlu dibentangkan di Parlimen dan ia akan mengambil masa sebelum pelaksanaannya.





