
IPOH – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memohon peruntukan berjumlah RM20 juta daripada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan bagi melaksanakan pembinaan hentian Rehat dan Rawat (R&R) di Lingkaran Tengah Utama (LTU) melibatkan kedua-dua arah.
Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, R&R tersebut akan dibina dalam daerah Bentong dengan kos bernilai RM10 juta setiap satu dan tapak pembinaannya telah dikenal pasti.
“Ia melibatkan pembinaan kedua-dua arah iaitu arah sebelah ke Gua Musang dan satu arah ke Betong.
“Di mana kita akan membina sekurang-kurangnya fasiliti seperti tempat membeli belah, tempat makan minum, tandas serta ruang solat seperti yang diminta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan tinjauan Projek Pembaikan Cerun dan Membaik Pulih jalan Persekutuan FT185 Seksyen 44.1 Jalan Simpang Pulai–Blue Valley, di sini pada Jumaat.
Jelasnya lagi, Menteri Besar (MB) Pahang sendiri telah membangkitkan mengenai isu ini (R&R LTU) dan pihaknya telah memaklumkan kepada pengurusan tertinggi berhubung hasrat itu supaya kerajaan pusat melalui KKR yang melakukan kerja-kerja pembinaan.
“Saya telah memanjangkan hasrat MB Pahang sendiri ke pihak pengurusan tertinggi untuk membina R&R ini di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Kita (KKR) akan membuat permohonan dalam masa terdekat kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) sebanyak RM20 juta untuk membina R&R LTU ini,” ujar Ahmad.
Sebelum ini, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kerajaan Pusat melalui Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Ekonomi mempertimbangkan semula pembinaan R&R di laluan LTU.
Menerusi hantaran Facebook Kesultanan Pahang, Al-Sultan Abdullah bertitah, keputusan tidak melaksanakan satu daripada komponen penting dalam projek LTU itu dilihat akan menyukarkan usaha penyelesaian beberapa isu berkaitan antaranya keperluan asas orang ramai menggunakan laluan berkenaan.
Baginda menegaskan bahawa keperluan R&R di lebuh raya itu akan dapat memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna sekali gus mengelak masalah pembuangan sampah serta kekotoran di pinggir jalan akibat ketiadaan kemudahan tandas.
Sebelum ini, kerajaan Pahang menyatakan rasa terkilan apabila satu daripada komponen penting dalam projek LTU itu tidak dilaksanakan, walaupun terdapat dalam skop projek dan hanya penyediaan platform serta infrastruktur yang dilaksanakan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri sudah membuat permohonan supaya kemudahan itu dibina bagi memberi keselesaan dan keselamatan kepada pengguna dalam mendapatkan kemudahan rehat sepanjang pemanduan.





