SKIM Insurans Am Selangor (Insan) didapati dilaksanakan secara telus dan tiada pelanggaran data peribadi.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (MBI), Norita Sidek berkata, data pemegang polisi dimiliki Kerajaan Negeri dan tidak tertakluk bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.
“Kami (MBI dan Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd) berjumpa suruhanjaya PDPA dan terima nasihat daripada mereka. Kami maklumkan kepada mereka peranan MBI memproses data dan ia diterima.
“Mereka berpuas hati dan nasihatkan kami memberi pilihan kepada rakyat untuk teruskan atau tidak. Itu nasihat mereka dan kami kemas kini pendaftaran,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai salah seorang saksi di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) berhubung pelaksanaan program Insan dan hala tujunya pada sesi pendengaran awam di Wisma Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, hari ini.
Selcat bersidang hari ini bagi menilai dan merungkai persoalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung tatakelola dan pelaksanaan program tersebut serta hala tujunya.
Sesi pendengaran itu turut menampilkan dua lagi saksi iaitu Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Saipolyazan M Yusop dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Selangor (Pembangunan), Datuk Johary Anuar.
Untuk rekod, Insan dilancarkan sejak 1 Oktober 2022 untuk memberi perlindungan insurans kemalangan diri berkumpulan secara percuma kepada enam juta rakyat berumur 30 hari hingga 80 tahun.
Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pernah menafikan berhubung penggunaan data peribadi rakyat Selangor tanpa kebenaran bagi pendaftaran Insan.
Sebaliknya, beliau menjelaskan Kerajaan Selangor bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendapatkan maklumat data awam yang boleh dibeli bagi pendaftaran.
Isu berkenaan timbul berikutan pertikaian pengguna didaftarkan tanpa kebenaran, sekali gus menimbulkan kebimbangan awam terhadap tahap keselamatan data peribadi.





