KUALA KANGSAR – Usaha untuk membantu mempercepatkan proses permohonan bantuan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) bagi pesawah di negeri Perak yang terjejas akibat banjir sedang rancak dibuat oleh Jabatan Pertanian Negeri Perak.
Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Norsiyenti Othman berkata, berdasarkan laporan diterima, terdapat seramai 1,375 petani dari daerah Kerian, Hilir Perak dan Perak Tengah terjejas melibatkan lebih 2,000 hektar sawah.
Kemusnahan yang dialami rata-rata disebabkan banjir, ribut selain cuaca kemarau yang melanda.
“Di peringkat negeri, kita telah meluluskan sejumlah permohonan bantuan TBTP untuk di bawa ke peringkat Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal TBTP di Ibu Pejabat Putrajaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Program Sekuriti Makanan (Tanaman Betik) Masjid Negeri Perak Tahun 2024 di Masjid Al-Latiffiyah Kampung Loh, Karai, di sini pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Pertanian (Pengembangan), Shahril Sabri; dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri Tanaman Negeri Perak, Tedong Anak Bugak.
Jelas beliau lagi, bagi permohonan pesawah yang dilanda bencana di daerah Kerian, kelulusan di peringkat negeri ujarnya akan dibuat pada Jumaat ini bersama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Kerian.
“Di peringkat negeri, kita tidak ada masalah.
“Semua permohonan yang lengkap bersama dokumen seperti laporan polis dan gambar semasa bencana, memang akan diluluskan untuk di bawa ke peringkat seterusnya.
“Permohonan yang diluluskan akan menerima bantuan yang disalurkan menerusi LPP terus ke akaun pesawah terlibat,” tambahnya.
Ujar Norsiyenti, proses ini akan mengambil masa antara lima ke enam bulan kerana ia melibatkan kelulusan bajet di peringkat Jawatankuasa Induk.
Sebelum ini, pada Ogos lalu, media ada melaporkan keluhan segelintir pesawah melibatkan daerah Kerian terkesan ekoran cuaca panas serta kering yang melanda ketika itu mengakibatkan keadaan sawah menjadi kering-kontang dan petani mengalami kerugian teruk disebabkan tamanan tidak menjadi.





