
Oleh: Mai S, A. Athirah, Siti
PERPADUAN menjadi salah satu tonggak utama dalam memastikan kestabilan dan keharmonian sesebuah negara, di mana ia hanya dapat dicapai sekiranya dipacu dengan pentadbiran yang stabil serta matang.
Namun, sejak kebelakangan ini, demi mencapai kepentingan masing-masing, ada pihak yang sengaja mengusik nilai perpaduan ini supaya meletus sekaligus mengganggu-gugat keharmonian masyarakat Malaysia berbilang kaum dan agama.
Tinjauan The Malaysia Press di sekitar ibu kota mendapati, rata-rata orang awam berpendapat, permainan politik kebencian yang melibatkan isu 3R (kaum, agama dan raja) hanya memecahkan perpaduan rakyat sedia ada dan melambatkan usaha Malaysia menjadi sebuah negara maju.
Seorang pemandu e-hailing, Kong Yeong Jian, 63, berkata, persengketaan antara kaum itu hanyalah permainan politik kotor walhal rakyat Malaysia sudah lama hidup aman damai tanpa perbalahan antara satu sama lain.

“Orang Melayu, orang Cina, orang India semua cari makan untuk sara kehidupan, saya orang Cina tapi kadang-kadang suka makan nasi lemak di kedai Melayu, hidup di dalam kejiranan yang 90 peratus dan saya juga dipanggil Ahmad oleh rakan-rakan Melayu.
“Jadi saya lihat tiada masalah pun di antara kami, rakyat Malaysia hidup aman damai, persengketaan antara kami sengaja dibuat supaya kami berpecah walhal kami masih lagi dapat nikmati nasi lemak sama-sama setiap pagi,” katanya ketika ditemui pada Isnin.
Kong Yeong turut bersyukur kerana dapat merasai pentadbiran yang stabil dan menjaga kepentingan serta kebajikan semua kaum dan agama.
“Saya cukup marah bila ada yang kata, kita di Malaysia ini hidup berbilang bangsa dan agama padahal sebenarnya kita hanya punyai satu bangsa iaitu bangsa Malaysia.
“Saya tengok Kerajaan Perpaduan ini sangat bagus, kita rakyat Malaysia dapat hidup bersatu padu tanpa menghiraukan perbezaan politik dan agama, asalkan tiada pihak yang melampau kucar-kacirkan perpaduan dengan isu agama dan kaum,” katanya.
Turut sama memberi pandangan, seorang pesara, Hassan, 73, yang berpendapat bahawa semua rakyat Malaysia harus bersatu padu dan bergabung untuk menyalurkan tenaga bagi membangunkan negara ke arah yang lebih baik.

Menurut Hassan, politik kebencian hanyalah ciptaan sesuatu pihak yang berkepentingan untuk menjayakan agenda masing-masing dan meraih sokongan rakyat tentang sesuatu isu yang dekat dihati masyarakat.
“Semua rakyat Malaysia kena bersatu padu, elakkan daripada berpecah, jangan buang tenaga ke tempat yang tidak bermanfaat, kalau kita bergabung dan salurkan tenaga ke satu tempat insya-Allah kita boleh bangunkan negara lebih maju.
“Setahu saya politik kebencian ini tidaklah terlalu kuat, kadang-kadang ia dicipta sekadar sengaja untuk mendapatkan sokongan sahaja tetapi kita kena fikir kita semua dilahirkan di sini, sudah berpuluh tahun dan generasi rakyat Malaysia tinggal di sini.
“Jadi kena saling tolong-menolong, maju ke hadapan. Kalau kita berpecah itu bukan maju ke hadapan tetapi mundur ke belakang, namun sebagai seorang Muslim, jangan lupakan tentang agama, dari segi pantang larang dan sebagainya, itu kena jaga juga,” ujarnya.
Turut sama bersetuju, seorang pegawai pemasaran digital, Muhamad Syafiq, 26, menyifatkan permainan politik kebencian sebagai satu mentaliti bawahan yang tidak berupaya untuk memajukan Malaysia.

“Bagi saya itu adalah mentaliti bawahan , kita sepatutnya lebih maju sebab bukan setahun dua rakyat Malaysia hidup berbilang bangsa, sudah bertahun lamanya.
“Sepatutnya semua pihak harus mula memikirkan bagaimana untuk memajukan Malaysia dan bukannya memecahkan perpaduan rakyat sedia ada, berfikir bagaimana untuk bekerjasama supaya Malaysia lebih maju ke hadapan.
“Harapan saya untuk melihat Malaysia yang lebih baik yang kukuh dari segi ekonominya, kuat matawang ringgitnya, dari segi politik pula, kita perlu bersatu berganding tenaga untuk Malaysia lebih maju, selagi mana kita berpecah, selagi itu kita tidak akan maju,” katanya.
Seorang graduan Universiti Sains Islam Malaysia, Ahmad Adnin Husin, 23, turut mengharapkan agar kestabilan politik dan keutuhan ekonomi dapat diunjurkan ke tahap yang lebih tinggi sekaligus membawa Malaysia setanding dengan negara berkelas yang lain.

“Seiring dengan keadaan nilai ringgit yang mengukuh, dasar ekonomi terbuka dapat memberikan nilai tambah kepada pendapatan negara kita, kestabilan politik yang baik juga dititikberatkan agar tidak berlaku krisis yang boleh menyebabkan impak negatif kepada negara
“Pada saya politik itu terbuka, hindarilah politik berunsurkan kontroversi dan provokatif,menjurus kepada 3R sehingga menggugat keamanan negara dan mencetuskan perbalahan antara kaum, malah sebagai sebuah negara yang punyai masyarakat majmuk, pasti ia menjadi keutamaan,” katanya.





