
MIRI – Program Madani Rakyat Sarawakku Sayang yang berlangsung di pekarangan pusat beli-belah Boulevard, Miri menarik ribuan penduduk setempat.
Acara ini berlangsung mulai Jumaat hingga Ahad menawarkan pelbagai aktiviti serta inisiatif untuk mendekatkan kerajaan kepada rakyat Sarawak.
Program tersebut dijangka menjadi medan penting untuk menyampaikan mesej pembangunan, kemajuan sosial, serta usaha memajukan negeri Sarawak sejajar dengan wawasan Madani.
Program Madani Rakyat Sarawakku Sayang ini ternyata menarik perhatian ramai dengan pelbagai inisiatif yang memberikan manfaat langsung kepada penduduk Miri.
Penduduk mula hadir seawal 8 pagi untuk memanfaatkan peluang seperti Jualan Rahmah Madani dan Jualan Agro Madani yang menjual barangan keperluan asas ditawarkan pada harga yang lebih berpatutan.
Secara tidak langsung, jualan tersebut dapat membantu meringankan beban kos sara hidup penduduk tempatan.
Selain itu, kaunter Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dibuka, memberikan peluang kepada pengunjung untuk membuat pemeriksaan saman serta menikmati diskaun saman menjadikan tarikan yang memudahkan urusan berkaitan undang-undang lalu lintas.
Karnival kerjaya
Antara tarikan utama program ini ialah karnival kerjaya yang memberikan peluang pekerjaan kepada mereka yang mencari pekerjaan.
Usaha ini sangat baik untuk meningkatkan peluang pekerjaan dalam kalangan masyarakat terutama golongan muda dan pencari kerja di kawasan tersebut.
Program seperti ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui pelbagai inisiatif yang komprehensif.
Program Madani Rakyat Sarawakku Sayang di Miri pada Jumaat menyediakan pelbagai aktiviti bermanfaat yang bermula seawal 10 pagi.
Acara ini melibatkan sesi Pocket Talk Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dan Tabika Perpaduan di Pentas Utama.
Sementara itu, terdapat perbincangan mengenai Produk Cekap Air oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di Pentas Reruai.
Ini memberikan peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan maklumat berkaitan komuniti dan langkah penggunaan air yang lebih efisien.
Program diteruskan dengan bicara Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) oleh Unit Perancang Ekonomi Sarawak iaitu strategi pembangunan jangka panjang selepas pandemik dibentangkan.
Pada masa yang sama, sesi Jom Cari Kerja bersama MyFutureJobs yang dikendalikan oleh Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Perkeso turut membuka peluang pekerjaan kepada pengunjung.
Pada sebelah petang, pelbagai acara menarik turut diadakan, termasuk pertandingan Busana Cilik Hari Malaysia oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) pada 2 petang yang mempamerkan kreativiti kanak-kanak dalam berpakaian tradisional sempena Hari Malaysia.
Seterusnya, sesi Anda Jimat, Poket Selamat oleh Suruhanjaya Tenaga dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) pada 4 petang memberikan maklumat berkenaan penjimatan tenaga.
Program diteruskan dengan pembentangan Building Sarawak’s Future: Recode Role in Score pada 4.30 petang yang menyentuh peranan Recoda dalam pembangunan wilayah Sarawak.
Perkhidmatan bas percuma
Bagi memudahkan pengunjung, perkhidmatan bas ulang alik percuma disediakan bermula dari 8 pagi hingga 12 tengah malam dengan kitaran setiap 20 hingga 30 minit, memudahkan akses ke pekarangan Boulevard.
Program Madani Rakyat Sarawakku Sayang di Miri ini disusun dengan teliti bagi memastikan keselesaan dan kemudahan pengunjung.
Lokasi mengambil dan menurunkan penumpang bagi perkhidmatan bas ulang-alik percuma adalah di Stadium Bandaraya Miri dan hentian bas Boulevard Miri menjadikannya mudah diakses oleh orang ramai yang ingin menghadiri acara ini.
Program yang berlangsung selama tiga hari ini melibatkan kerjasama strategik antara beberapa agensi utama, termasuk Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi , Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak.
Matlamat utama program ini adalah untuk menawarkan perkhidmatan kerajaan secara langsung kepada rakyat Sarawak, memudahkan akses kepada inisiatif-inisiatif dan perkhidmatan penting.
Di samping itu, program ini bertujuan mempromosikan dasar serta inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi memastikan rakyat lebih maklum dan terlibat dalam pelbagai aspek pembangunan negara.

Pembangunan Sarawak yang inklusif dan mampan
Program ini mencerminkan usaha bersepadu antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sarawak dalam membina kesejahteraan masyarakat sekali gus menyokong agenda pembangunan Sarawak yang lebih inklusif dan mapan.
Selain itu, program ini dilakukan bertujuan meningkatkan pemahaman dan kesedaran umum terhadap hala tuju dan matlamat kerajaan selain membina keyakinan antara kerajaan dengan rakyat.
Pendekatan yang digunakan termasuk pelaporan pencapaian kerajaan secara berkala dapat membantu memastikan akauntabiliti dalam pelaksanaan dasar serta projek pembangunan.
Acara yang berlangsung pada Sabtu menjadi salah satu detik penting dalam program ini dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Kedua-dua pemimpin menghadiri majlis perasmian yang dijadualkan bermula pada 2.30 petang menandakan komitmen tinggi kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak dalam mendekatkan diri kepada rakyat dan memastikan dasar serta inisiatif yang diperkenalkan selari dengan aspirasi masyarakat Sarawak.
Kehadiran pemimpin tertinggi ini bakal menarik perhatian ramai dan dijangka memberikan penekanan kepada kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sarawak dalam usaha membangunkan Sarawak terutama mencapai matlamat Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) dan pembangunan sosioekonomi yang mampan.





