
PULAU PINANG – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Fadzli Roslan menyambut baik tindakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bersama Pasukan Kementerian Pendidikan untuk mengambil alih dan menguruskan pembelajaran anak-anak dibawah jagaan Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) dengan memberi pendidikan formal kepada mereka.
Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) itu berkata, anak-anak ini bukan sahaja ditempatkan di rumah jagaan yang lebih selamat, malah mereka juga diberi pendidikan yang sewajarnya.
“Lebih kurang 300 kanak-kanak ini diselamatkan atas usaha Kementerian Pendidikan dalam memberikan pembelajaran yang sewajarnya dan yang paling penting mereka tidak lagi disalahgunakan sebagai buruh kanak-kanak dan tercicir dalam pembelajaran,” katanya.
Mengulas lanjut, Fadzli berkata selain isu kanak-kanak di bawah GISB ini, autoriti perlu juga memberi perhatian terhadap isu berkaitan pengeksploitasian kanak-kanak yang belum diketahui umum.
“Jadikan GISB ini sebagai contoh dan amaran kepada mereka yang menyalahgunakan buruh kanak-kanak, saya yakin ramai lagi yang di luar sana melakukan perkara terkutuk ini,” tegas beliau.
Terdahulu, ratusan kanak-kanak yang terdiri daripada anak pengikut GISB berjaya diselamatkan polis melalui operasi yang dilaksanakan di beberapa negeri sehingga kini dan siasatan mendapat mereka tidak dapat pendidikan yang sewajarnya, malah mereka juga digunakan sebagai buruh kanak-kanak yang salah di sisi undang-undang.
Sehubungan dengan itu, YB Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek dan Pasukan Kementerian Pendidikan menetapkan untuk mengambil alih urusan pendidikan anak-anak yang diselamatkan dari premis dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) dan memberikan pendidikan yang sewajarnya kepada mereka melalui modul-modul khas KPM.






