KUANTAN – Pengunjung Menara Kuantan 188 bakal ditawarkan pengalaman menarik melalui program ‘Subuh Macam Jumaat’ yang akan diadakan sempena cuti sekolah pertengahan bulan ini.
Mereka berpeluang menunaikan solat Subuh di pelantar utama menara itu yang terletak pada ketinggian 92 meter.
Selain program berkenaan, pelbagai lagi aturcara menarik disediakan bagi pengunjung untuk mengisi cuti sekolah bersama keluarga mereka.
Eksklusif Pemasaran Menara Kuantan 188, Muhammad Farid Rosdin berkata, pihaknya juga menganjurkan Moh Selawat Perdana bersempena Maulidur Rasul yang bersekali dengan cuti sekolah.
“Untuk majlis Moh Selawat ini, kita akan menampilkan beberapa tokoh ilmuwan dan agamawan yang terkenal di Pahang.
“Ia akan disertai pelajar Maahad Tahfiz Turath Pahang selain turut mempelawa orang ramai menyertai program berkenaan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan hampir 10 acara lain turut disediakan kepada pengunjung bermula 13 hingga 16 September ini.
“Objektif utama adalah untuk memastikan setiap ahli keluarga dapat menyertai program yang kita anjurkan.
“Maknanya, program ini berkonsepkan kekeluargaan supaya setiap peserta dapat meluangkan masa bersama sambil menyertai kemeriahan program yang kami sediakan,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Muhammad Farid memaklumkan, hampir 40 vendor akan menyertai acara di Menara Kuantan 188 kali ini dengan menggunakan konsep Ali Baba.
Katanya, bukan hanya vendor menyediakan pelbagai minuman kopi, tapi turut menawarkan pelbagai makanan kepada pengunjung.




