
PAKAN – Program Randau Pembangunan Sosial (RPS) bahagian Sarikei 2024 dianjurkan di Rumah Kintan, Ulu Sungai Ruas, Sugai, Pakan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan Ikom, program ini bertujuan memberi kesedaran kepada isu sosial dalam kalangan penduduk kampung terutama penduduk Sugai.
“Melalui program ini, kita sentiasa dapat menjaga keamanan dan kesejahteraan komuniti tanpa mengira peringkat umur, bangsa dan agama,” ujar beliau.
Tambah beliau lagi, program seperti ini turut memperkasakan komuniti dengan kesedaran dan pencegahan.
“Program ini juga turut memberi penyelesaian sosial dalam kalangan masyarakat demi kesejahteraan mereka,” katanya lagi.
Sementara itu, RPS disertai oleh beberapa agensi seperti Pejabat Residen Bahagian Sarikei, Pejabat Daerah Pakan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia, Jabatan Hutan, Jabatan Pergigian Bahagian Sarikei, Klinik Kesihatan Pakan, Jabatan Kebajikan Bahagian Sarikei serta ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) daerah Pakan.
Menariknya, RPS turut mengadakan pelbagai pameran yang turut diadakan oleh beberapa agensi terlibat seperti pemeriksaan kesihatan dan perkhidmatan pergigian.
Selain itu, terdapat sesi pemberian suntikan vaksin HPV kepada golongan wanita dan lelaki yang berumur 18 tahun hingga 45 tahun secara langsung di tapak pameran.





