
JOHOR BAHRU – Prestasi dan tahap kecekapan penjawat awam dalam melaksanakan tugas akan dinilai rakyat mulai Isnin ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, pemerhatian dan penilaian daripada masyarakat itu penting berikutan golongan penjawat awam ini bakal menerima imbuhan bergantung kepada prestasi dalam melaksanakan tugas.
“Semalam saya umum kenaikan gaji dan elaun terbaik dalam sejarah bagi mengiktiraf penjawat awam disebabkan ada penambahbaikan dalam perkhidmatan mereka, ini ‘reform’ yang kita mahu lakukan.
“Jadi ada jaminan dalam kalangan penjawat awam bahawa bermula Isnin depan, penjawat awam di semua negeri perlu masuk kerja mengikut waktu dan bersungguh-sungguh pikul tanggungjawab.
“Saya harap rakyat boleh menilai kalau ada mana-mana Pejabat Daerah, persekutuan atau agensi-agensi yang mempunyai kelemahan mesti melaporkan. Kerana kalau kita bagi ganjaran, tapi terdapat kecuaian, saya akan minta Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk ambil tindakan segera supaya nama baik penjawat awam dipertahankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat Zon Selatan 2024 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Sementara itu, Anwar turut memaklumkan pentadbirannya komited untuk mengatasi isu salah laku, penyelewengan dan rasuah dalam kalangan pemimpin termasuk penjawat awam.
“Walaupun saya umumkan kenaikan gaji penjawat awam, tetapi itu tidak melibatkan orang politik seperti menteri dan timbalan menteri, di mana gaji mereka masih sama dengan potongan 20 peratus.
“Malahan saya sendiri, sejak menjadi Perdana Menteri, saya masih belum mengambil gaji, begitu juga gaji sebagai Menteri Kewangan. Saya lakukan ini kerana mahu jadikan contoh dan kita perlu sedia berkorban.
“Saya perlu bersyukur kerana telah terima banyak manfaat seperti kediaman rasmi, pengangkutan kenderaan dan pesawat, Alhamdulillah. Jadi kita beri peluang kepada penjawat awam untuk bantu angkat lagi negara ini,” jelasnya lanjut.
Semalam, Anwar mengumumkan bahawa secara purata, penjawat awam negara ini bakal menerima kenaikan gaji melebihi RM500 selepas berlaku pelarasan gaji baharu.
Menurut beliau, pelaksanaan pemberian tersebut akan dibuat secara bertahap dan berfasa iaitu fasa satu pada 1 Disember ini, manakala fasa kedua pada 1 Januari 2026.




