
GUA MUSANG – Kerajaan Kelantan digesa memberi penjelasan berhubung pelaburan Projek Bandar Perabot digelar Madinatul Athasi di Gua Musang yang sehingga kini masih tidak menjadi kenyataan.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, adalah menjadi kebimbangan sekiranya projek Bandar Perabot tetapi dalam masa sama projek Ladang Hutan sahaja menjadi kenyataan oleh pemaju dan penggerak projek.
Menurutnya, melalui kelulusan Environmental Impact Assessment (EIA) terdapat tiga projek Ladang Hutan dibawah sebuah syarikat pengerak projek selain dari kelulusan 350 ekar tanah tapak bandar perabot itu.
Tambahnya, kelulusan tersebut adalah sebanyak 1169 hektar atau 2889 ekar dengan beberapa pembahagian.
“Saya amat mengharapkan kewujudan Bandar Perabot ini menjadi kenyataan walau cepat atau lambat dan saya menaruh sedikit kebimbangan sekiranya nanti Bandar Perabot gagal tapi Projek Ladang Hutan sahaja menjadi kenyataan oleh pemaju dan penggerak projek.
“Sebagai ADUN pembangkang, BN negeri Kelantan mahu perkara ini dijawab terus oleh Kerajaan Negeri Kelantan dan saya tegaskan di sini saya mewakili suara semak dan imbang Kerajaan Negeri Kelantan maka, menjadi tanggungjawab saya untuk bertanya kepada Kerajaan Negeri Kelantan.
“Saya mengambil peluang untuk bertanyakan isu ini secara panjang lebar melalui sidang media kerana saya menyedari ruang yang terhad kepada saya diberikan semasa sidang DUN Kelantan berlangsung dalam menyatakan secara jelas mengenai perkara ini sebelumnya,” katanya pada sidang media yang diadakan di sini, hari ini.
Pada 10 September 2020, telah berlangsung satu upacara pecah tanah untuk Projek Bandar Perabot atau digelar Madinatul Athasi di Gua Musang dan dirasmikan mantan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan turut dihadiri oleh ADUN BN Galas.
Dalam Seisi Pengulungan Sidang DUN Kelantan pda 31 Mac 2022, Exco Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Hanifa Ahmad pada ketika itu, telah menyatakan sebuah syarikat telah dianugerahkan 350 ekar tanah tapak bandar perabot di Gua Musang dengan komitmen untuk pembinaan tiga buah kilang yang akan dimulakan pada pertengahan tahun 2022.





