
KOTA LAKSAMANA – Seorang pengendali pengurusan jenazah didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada khamis atas pertuduhan menakutkan isterinya menggunakan senjata tajam (gunting) dengan mengejar mangsa, Sabtu lalu.
Tertuduh, Mohd Ridzuan Mohd Fauzi, 34, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menakutkan mangsa, Siti Najira Abdul Sahak, 39, secara jenayah dengan cara mengejar mangsa sambil memegang gunting.
Perbuatan itu dilakukan sekitar jam 8.30 malam di sebuah Pangsapuri Kota Laksamana daerah Melaka Tengah, 20 Julai lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 506 kanun keseksaan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 7 tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Difahamkan tertuduh naik berang selepas bayi mereka berusia 3 bulan dikatakan terjatuh dan mendakwa kejadian itu berlaku akibat kecuaian mangsa.
Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dikenakan terhadap tertuduh.
Tertuduh yang diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan bekerja sebagai pengendali pengurusan jenazah dengan pendapatan bulanan RM1,800 serta perlu menyara dua orang anak.
Mahkamah kemudian meluluskan dengan wang jaminan sebanyak RM3,000 beserta syarat tambahan tertuduh tidak boleh menganggu mangsa sehingga kes selesai.
Kes bersambung semula pada 29 Ogos depan.





