
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu membuat siasatan adakah wujud amalan kronisme ketika kontrak 1BestariNet diberi kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada tahun 2011.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, SPRM juga perlu menyiasat beberapa aspek secara teliti agar ianya telus dan menyeluruh.
Menurut Mohd Puad, hal ini kerana siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ini menjurus kepada penggunaan dokumen palsu untuk membuat tuntutan bayaran melibatkan RM2.7 bilion oleh YTL.
“Tetapi saya mendesak agar SPRM membuat siasatan kepada tiga aspek utama ini. Pertama apakah wujud amalan kronisme ketika kontrak ini diberikan kepada YTL pada tahun 2011.
“Kedua, apakah terdapat habuan ‘bawah meja’ atau duit kopi untuk pihak yang meluluskannya?
“Ketiga, projek 1BestariNet tidak berkualiti. Ia gagal menyelesaikan masalah liputan internet khususnya untuk sekolah sekolah di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Akibatnya program pendidikan online terjejas.
“Puncanya ada syarikat yang memang pemain utama bidang telekomunikasi seperti Telekom Malaysia diketepikan. Syarikat tidak berpengalaman pula diberikan kontrak,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press pada Jumaat.
Dengan nada sinis, beliau turut mempersoalkan mengapa setelah terbukti YTL gagal tetapi kontrak syarikat yang gagal ini disambung lagi untuk penyelenggaraan.
“Justeru siasatan oleh SPRM mesti menyeluruh. Ketirisan amat ketara dan berlaku pembaziran terhadap wang pembayar cukai,” ujarnya.
SPRM kelmarin menyerbu pejabat YTL Communications Sdn Bhd, sebagai sebahagian siasatan terhadap projek yang bermula pada 2011.
Projek itu bermula ketika Muhyiddin menjadi Menteri Pendidikan, di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Muhyiddin berkata, beliau mengalu-alukan siasatan SPRM dijalankan kerana yakin tidak terbabit dalam projek kontroversi itu.





