RAMALLAH – Lebih 11,825 pelajar Palestin terkorban dalam serangan Israel sejak Oktober tahun lalu, lapor Anadolu memetik laporan data skala keganasan yang menyasarkan pelajar dan institusi pendidikan diterbitkan oleh Kementerian Pendidikan Palestin pada Selasa.
Laporan itu mendedahkan bahawa di Gaza sahaja, 11,057 pelajar sekolah telah terkorban dan 16,897 pelajar yang lain cedera, manakala angka kematian dalam kalangan pelajar universiti pula membabitkan 681 orang pelajar universiti terbunuh dan 1,468 yang lain cedera.
Di Tebing Barat pula, 79 orang pelajar sekolah dan 35 orang pelajar universiti telah terbunuh, ditambah pula dengan ratusan pelajar daripada kedua-dua kumpulan, mengalami kecederaan serius dan berada dibawah tahanan rejim Israel.
Menurut laporan itu, seramai 441 guru dan kakitangan sekolah di Gaza telah kehilangan nyawa, dengan 2,491 yang lain cedera manakala di Tebing Barat pula, dua kakitangan sekolah telah terbunuh, 17 cedera, dan 139 ditahan.
Jelas kementerian itu, kerugian teruk turut ditanggung institusi pengajian tinggi apabila 117 kakitangan akademik di Gaza telah disahkan meninggal dunia.
Menerusi laporan tersebut, 406 buah sekolah di Gaza dengan 65 buah daripadanya yang dikendalikan oleh UNRWA mengalami kemusnahan infrastruktur pelbagai peringkat manakala 77 buah sekolah telah musnah sepenuhnya, di Tebing Barat pula, kerosakan melibatkan 84 sekolah.
Selain itu, institusi pengajian tinggi di Gaza turut mengalami kerugian besar apabila 20 universiti melaporkan kerosakan yang serius, dengan 51 bangunan universiti dirobohkan sepenuhnya dan 57 bangunan yang lain terjejas akibat runtuhan.
Tambahnya, setakat Oktober tahun ini, 88,000 pelajar universiti di Gaza dan kira-kira 700,000 pelajar sekolah telah dinafikan hak pendidikan malah hampir kesemua sesi pembelajaran di Gaza telah terhenti.





