
SANDAKAN – Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Sandakan, Ceelecia Reeka Mosungin, 21, dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan Sandakan pada sambutan peringkat daerah yang berlangsung, pada Sabtu.
Kemenangan itu membolehkan Ceelecia mewakili daerah Sandakan ke pertandingan peringkat negeri di Pusat Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Penampang hujung bulan ini.
Ceelecia berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, mahkota, piala dan jambangan bunga.
Naib juara pertama, Carren Augustine, 27, menerima RM7,000, manakala tempat ketiga dimenangi Jaqualine Sadan, 25.
Sementara itu, peserta di tempat keempat hingga ketujuh turut diumumkan sebagai finalis.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib.
Sambutan meriah daripada pengunjung turut menambahkan lagi kemeriahan acara, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan dan kebudayaan dalam kalangan masyarakat setempat.






