
MIRI – Tanjung Lobang Lighthouse berpotensi diperkasakan sebagai salah satu tapak warisan sejarah penting di bandar raya Miri susulan lawatan tapak yang diadakan baru-baru ini bagi meninjau usaha penambahbaikan kawasan berkenaan.
Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man, rumah api yang merupakan salah satu daripada dua rumah api di Miri itu mempunyai nilai sejarah tersendiri apabila struktur asalnya dibina sekitar tahun 1930-an oleh pihak British sebelum musnah semasa serangan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua.
Struktur baharu kemudiannya dibina pada tahun 2007 di tapak asal bagi meneruskan fungsi sebagai panduan kepada kapal dan bot di kawasan perairan berkenaan.
Selain menjadi mercu tanda maritim, rumah api tersebut turut menyimpan kisah perjuangan seorang wira tempatan, Allahyarham Awang Metali Awang Bakar yang bertugas sebagai penjaga rumah api ketika zaman perang.
Ketika tentera Jepun menyerang Miri dan cuba memadamkan cahaya rumah api di Tanjung Lobang, Allahyarham dilaporkan tetap mempertahankan tugasnya sehingga ke akhir hayat. Mayat beliau ditemui enam hari kemudian dan disemadikan berhampiran rumah api yang dijaganya dengan penuh setia.
Semasa lawatan itu, beliau turut memberi penghormatan kepada makam Allahyarham Awang Metali selain meninjau kawasan memorial dan tanah perkuburan pekerja industri minyak era Perang Dunia Kedua yang dibangunkan oleh Persatuan Jepun di Miri.
“Tapak tersebut dilihat mempunyai potensi besar sebagai lokasi pendidikan sejarah dan tarikan pelancongan warisan kepada pengunjung tempatan serta luar negara,” ujar Choon Man.
Hasil tinjauan juga mendapati beberapa penambahbaikan boleh dilakukan termasuk menaik taraf papan maklumat dengan kandungan yang lebih menarik dan terkini bagi memberikan pengalaman lebih informatif kepada pengunjung.
Selain itu, isu akses ke rumah api turut dikenal pasti sebagai cabaran memandangkan laluan ke kawasan tersebut ketika ini hanya melalui kawasan sekolah.
Sehubungan itu, usaha akan digerakkan bersama pihak berkepentingan bagi menambah baik kemudahan serta akses ke tapak bersejarah tersebut agar lebih ramai pengunjung dapat menghargai sejarah dan warisan bandar raya Miri.






