Yayasan Petronas sumbang 30 peranti satelit, bantu MRF pulihara penyu di Sabah

KOTA KINABALU – Di sebalik permukaan laut yang kelihatan tenang di perairan Sabah, penyu sebenarnya memainkan peranan penting dalam mendedahkan rahsia kesihatan ekosistem marin.

Pergerakan haiwan marin itu merentasi perairan bukan sekadar perjalanan semula jadi, sebaliknya menjadi petunjuk penting kepada saintis untuk mengenal pasti habitat haiwan itu.

Bagi menyokong usaha tersebut, Yayasan Petronas menyumbangkan 30 unit peranti penjejakan satelit kepada Marine Research Foundation (MRF) bagi membantu penyelidikan dan pemuliharaan penyu di Sabah semasa Majlis Iftar Petronas di Hotel Le’ Meridien, di sini pada Khamis.

Peranti berkenaan akan dipasang pada dua spesies penyu utama iaitu penyu hijau dan penyu karah (hawksbill) bagi menjejak pergerakan serta mengenal pasti habitat penting haiwan itu di perairan negeri ini.


Teknologi satelit jejak pergerakan penyu

Ketua Pegawai Program MRF, Liyana Izwin Khalid berkata, teknologi penjejakan satelit merupakan antara kaedah paling berkesan dalam kajian terhadap penyu kerana haiwan itu menghabiskan sebahagian besar hidupnya di dalam laut.

“Daripada 30 peranti yang disumbangkan, sebanyak 10 akan dipasang pada penyu hijau, manakala 20 lagi pada penyu karah.

“Pemasangan peranti dilakukan selepas penyu selesai bertelur di kawasan pendaratan seperti di Sandakan dan Semporna,” kongsinya.

Tambah Liyana, peranti tersebut dilekatkan pada bahagian belakang penyu menggunakan bahan khas tanpa menjejaskan pergerakan haiwan berkenaan.

“Apabila penyu timbul ke permukaan air untuk bernafas, peranti itu akan menghantar isyarat kepada satelit yang membolehkan penyelidik menjejak lokasi serta laluan pergerakan mereka

“Peranti tersebut mampu berfungsi antara enam bulan hingga setahun bergantung kepada keadaan di laut.

“Antara lokasi yang terlibat dalam projek penjejakan ini termasuk Pulau Gulisan dan Pulau Selingan di Taman Pulau-Pulau Penyu, Pulau Lankayan, Pulau Sipadan serta Pulau Pom Pom,” jelasnya.

Penyu ‘penunjuk’ habitat laut

Menurut Liyana, data yang diperoleh daripada penjejakan satelit bukan sahaja membantu memahami pergerakan penyu, malah memberi petunjuk tentang lokasi habitat penting di dasar laut.

“Sebagai contoh, penyu hijau lazimnya memakan rumput laut, manakala penyu karah pula lebih cenderung berada di kawasan terumbu karang.

“Jika penyu hijau berada lama di satu kawasan, kemungkinan besar kawasan itu adalah padang rumput laut kerana itu sumber makanan utama mereka.

“Maklumat tersebut penting kerana kawasan rumput laut sukar dikenal pasti secara visual terutama jika berada jauh di bawah permukaan air.

“Jadi penyu sebenarnya membantu ‘memberitahu’ kita di mana lokasi habitat penting itu berada,” katanya.


Peranan penyu dalam rantaian makanan

Tambah Liyana, selain membantu mengenal pasti habitat laut, penyu juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem marin.

“Penyu hijau, misalnya, membantu mengawal pertumbuhan rumput laut yang menjadi habitat penting bagi hidupan kecil seperti udang dan ikan.

“Jika rumput laut tidak dikawal, ia boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem yang menjadi tempat pembiakan pelbagai hidupan laut.

“Manakala bagi penyu karah pula, spesies itu membantu mengawal populasi hidupan laut tertentu seperti obor-obor.

“Jika penyu berkurangan, keseimbangan rantaian makanan juga boleh terjejas dan akhirnya memberi kesan kepada sumber makanan manusia,” katanya.

Kos tinggi tetapi penting untuk penyelidikan

Menurut Liyana, kos bagi setiap peranti penjejakan satelit dianggarkan sekitar RM25,000 yang merangkumi peralatan serta langganan data satelit sepanjang tempoh pemantauan.

Peranti tersebut dihasilkan oleh syarikat antarabangsa yang khusus dalam teknologi penjejakan hidupan liar.

Walaupun kosnya tinggi, teknologi itu dianggap antara kaedah terbaik untuk memahami pergerakan penyu di laut yang luas.

Kajian baharu fokus penyu karah

Dalam perkembangan berkaitan, Liyana berkata, populasi penyu hijau secara global menunjukkan peningkatan hasil usaha pemuliharaan berterusan.

Namun, kajian terhadap penyu karah khususnya di Sabah masih terhad kerana data berkaitan spesies itu tidak banyak dikumpulkan sebelum ini.

“Melalui projek penjejakan ini, penyelidik berharap dapat memahami dengan lebih jelas pergerakan penyu karah termasuk kemungkinan merentasi perairan negara jiran seperti Filipina dan Indonesia.

“Penyu hijau telah banyak dikaji sebelum ini, tetapi bagi penyu karah kita masih kekurangan maklumat. Melalui penjejakan satelit ini, kita berharap dapat mengetahui ke mana penyu ini bergerak serta kawasan yang menjadi habitat penting mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Petronas atas sumbangan tersebut yang disifatkan sebagai pemangkin kepada penyelidikan baharu dalam usaha pemuliharaan penyu dan ekosistem marin di Sabah, khususnya penyu karah.

Related Posts

MPP UMS hargai keprihatinan, usaha universiti tangani gangguan bekalan air di kampus

KOTA KINABALU – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan dan usaha pihak pengurusan universiti dalam menangani isu gangguan bekalan air yang sedang melanda kampus.‎‎Ketua…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Diwarmas rai Aidilfitri, seru warga emas terus kuasai ilmu digital

KUCHING – Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Kelab Literasi Digital Warga Emas Kuching (Diwarmas) yang berlangsung pada Khamis meriah dengan semangat silaturahim dan ukhuwah komuniti. Acara yang menghimpunkan warga emas…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

MPP UMS hargai keprihatinan, usaha universiti tangani gangguan bekalan air di kampus

  • By Ynom
  • April 16, 2026
MPP UMS hargai keprihatinan, usaha universiti tangani gangguan bekalan air di kampus

Diwarmas rai Aidilfitri, seru warga emas terus kuasai ilmu digital

Diwarmas rai Aidilfitri, seru warga emas terus kuasai ilmu digital

SSM santuni asnaf, bekas tentera sempena ulang tahun ke-24

SSM santuni asnaf, bekas tentera sempena ulang tahun ke-24

‎Teruskan berkhidmat, perkukuh sektor agromakanan Sabah – Jamawi

‎Teruskan berkhidmat, perkukuh sektor agromakanan Sabah – Jamawi

PDRM tingkat kawalan stesen minyak sempadan, Ops Tiris 4.0 digerakkan

PDRM tingkat kawalan stesen minyak sempadan, Ops Tiris 4.0 digerakkan

Exco akui kelemahan semakan jersi

Exco akui kelemahan semakan jersi