PUTRAJAYA – Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan kandungan tangkap layar perbualan kumpulan sembang WhatsApp yang antaranya mendakwa beliau dan beberapa pemimpin parti mengutuk parti komponen Perikatan Nasional (PN) dipercayai Pas.
Beliau memaklumkan, dakwaan beliau mengutuk parti tersebut adalah ‘berniat jahat’ serta fitnah bagi mewujudkan persepsi negatif dalam memecah belahkan hubungan Bersatu dengan parti komponen selain menguntungkan musuh politik yang lain.
Beliau mendakwa, hantaran itu jelas datang dari kumpulan yang mahu Bersatu dan Pas berpecah di samping turut mempersoalkan motif kumpulan terbabit menyerang Bersatu dengan halaman Facebook baharu berkenaan selain bekerja dengan musuh untuk melemahkan PN.
“Kandungan mesej yang tular itu adalah palsu. Perbuatan itu adalah berniat jahat semata-mata mahu memporak perandakan lagi Bersatu dan mahu hubungan Bersatu-Pas renggang dengan tujuan untuk melumpuhkan PN.
“Ini pastinya datang dari pihak yang terdesak mahu dua parti ini berpecah. Hantaran itu pun dibuat dari akaun Facebook haram dan saya nafikan perkara itu. Jelas gambar profil itu dengan saya berbeza.
“Apabila ia berlaku, ia menguntungkan musuh-musuh politik Bersatu. Ini bermakna mereka bersama musuh politik PN dalam mewujudkan fitnah terhadap Bersatu dan Pas,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.
Terdahulu, tular mesej disebarkan di media sosial itu dengan beliau didakwa mencadangkan partinya keluar daripada PN selain menyebut Pas boleh bersama UmDAP (label gabungan UMNO dan DAP oleh lawan).
Ahmad Faizal atau lebih dikenali Peja didakwa mengeluarkan kenyataaan itu susulan peletakan jawatan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN dipercayai selepas didesak segelintir pemimpin Pas, penghujung tahun lalu.
Dalam tangkap layar itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz didakwa telah menulis: “Rasanya lebih baik jika Pas yang keluar (dari PN) DS Peja. Mereka pun nak ke MN (Muafakat Nasional (MN) dah.”
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Jasri Jamaludin pula didakwa bersetuju dengan kenyataan Faizal dan meminta Muhyiddin mempertimbangkan semula keputusan meletak jawatan Pengerusi PN.




