KUANTAN – Pemuda UMNO Pahang menyelar tindakan segelintir pihak yang cuba menggugat kestabilan negeri ini dengan menyebarkan naratif negatif dan menggunakan medium fitnah demi kepentingan politik sempit.
Ketuanya, Mohd Kamil Ibrahim menegaskan, prestasi cemerlang dan kedudukan ekonomi Pahang yang stabil ketika ini mencetuskan rasa tidak senang hati dalam kalangan pihak lawan sehingga memaksa mereka menggunakan taktik serangan peribadi serta manipulasi fakta.
Mengulas mengenai penularan artikel mendakwa kononnya terdapat analisis penyelidikan terhadap pentadbiran negeri, Pemuda UMNO Pahang menyifatkan kajian itu tidak berintegriti dan hanya bertujuan untuk ‘menyedapkan hati’ pihak tertentu.
“Kita tidak tahu siapa yang menjadi bahan kajian mereka, tetapi yang pasti, ia nampak jelas cenderung kepada satu pihak sahaja.
“Jika penyelidik pun mahu ‘ditunggang’ oleh Pas, maka tidak mustahil lebih banyak pihak lain akan dipergunakan selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Sayap UMNO Pahang itu juga meluahkan rasa kesal terhadap pendekatan pihak lawan yang lebih mengutamakan perebutan kuasa berbanding hujah matang atau fakta yang jelas.
Mohd Kamil dalam masa yang sama menjelaskan, pembangkang begitu bersungguh-sungguh ingin menafikan segala pencapaian baik diperoleh kerajaan Pahang yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Segala bantuan dan kebajikan disalurkan kerajaan negeri sering dijadikan bahan kecaman tanpa penilaian yang adil.
“Budaya fitnah ini dilihat menjadi ‘makanan harian’ yang disebarkan melalui media sosial tanpa memikirkan kesan kepada rakyat.
“Kita di Pahang memilih cara lebih matang… politik bukan tempat bergaduh tidak tentu hala, tetapi ruang untuk menjaga kemakmuran negeri berdasarkan hasil kerja yang nyata, bukannya sekadar angka cantik di atas kertas,” tambahnya.
Beliau turut mengingatkan setiap pemimpin perlu sentiasa bersedia berhadapan dengan rakyat yang menjadi penilai sebenar prestasi kerajaan, terutamanya menjelang pilihan raya.
“Rakyat ada mata dan mereka menilai sendiri perubahan dibawa dalam tempoh empat ke lima tahun ini.
“Kita tidak mahu nasib negeri Pahang ini menjadi seperti negeri yang mereka (pembangkang) tadbir — hanyut dengan prestasi palsu sehingga angka yang jatuh pun didakwa sebagai pencapaian terbaik,” katanya.






