
WARGA emas yang menampar seorang lelaki bukan beragama Islam di sebuah kedai serbaneka di pusat beli-belah di Johor Bahru, akan didakwa di mahkamah hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, hasil semakan mendapati suspek lelaki berusia 65 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kertas siasatan sudah dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor dan hasil penelitian, keputusan dibuat untuk menuduh suspek mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga satu tahun, denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan pada malam tadi.
Sebelum itu, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, suspek dan beberapa saksi termasuk anaknya sudah dirakam percakapan Isnin lalu.
Sementara itu, mangsa berusia 21 tahun dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan dan doktor merawat mangsa juga akan dirakam percakapan.
Dalam kejadian malam Ahad lalu yang tular di media sosial, mangsa ditampar dua kali pada pipi kanan oleh seorang lelaki tidak dikenali selepas suspek bertanya mengenai agama dan meminta MyKad miliknya.
Bagaimanapun keengganan mangsa menyerahkan MyKad miliknya menyebabkan berlaku pertengkaran sebelum mangsa ditampar dan kejadian itu.







