KUANTAN – Seorang jurutera kerugian RM230,000 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud.
Kejadian bermula apabila lelaki berusia 67 tahun dari Jerantut itu menerima satu pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp pada 14 Julai lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek menawarkan pelaburan dalam Bursa Saham menerusi syarikat ‘Elite Group’ kepada mangsa.
Katanya, mangsa ditawarkan skim pelaburan menjanjikan pulangan RM150,000 dalam tempoh singkat jika melabur RM50,000.
“Tertarik dengan tawaran itu, mangsa bersetuju dan membuat sembilan transaksi pembayaran ke empat akaun bank berbeza.
“Transaksi dilakukan mangsa bermula 16 hingga 31 Julai membabitkan jumlah keseluruhan RM230,000,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Yahaya memaklumkan, berdasarkan laporan, mangsa diminta membuat bayaran tambahan atas alasan kononnya terdapat masalah semasa pemprosesan pelaburan.
“Mangsa yang menggunakan wang simpanan bagi tujuan pelaburan ini akhirnya menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis mengenai perkara itu,” katanya.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.





