Video komunis: Jangan cuit perpaduan Malaysia

PUTRAJAYA – Penyebaran ideologi fahaman dan amalan komunis oleh pertubuhan tidak berdaftar merupakan ancaman berbahaya yang sengaja ‘mencuit’ identiti masyarakat majmuk di negara ini sehingga menggugat keseimbangan sosial dan identiti nasional negara, selain tidak selari dengan konsep Bangsa Malaysia.

Pemerhati hubungan antarabangsa dan politik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, walaupun komunis ketika ini tidak lagi berperanan sebagai ancaman bersenjata, namun propaganda berbentuk digital dilihat membimbangkan susulan mampu menyusup masuk secara halus ke dalam pemikiran masyarakat. 

Jika tidak dikawal, tegasnya, penyebaran ideologi tersebut boleh mengakibatkan sesetengah komuniti merasa lebih cenderung kepada identiti luar berbanding identiti kebangsaan.

“Walaupun hubungan Malaysia dan China adalah penting dari sudut diplomatik dan ekonomi, sebarang gerakan mempromosikan identiti luar secara berlebihan boleh menimbulkan persoalan mengenai kesetiaan kepada negara. Identiti nasional negara terbina melalui sejarah panjang perjuangan menentang penjajahan dan usaha membina negara yang inklusif untuk semua kaum. 

“Video tular yang mempunyai unsur komunisme merupakan contoh bagaimana unsur luar menggugat keseimbangan sosial dan identiti nasional jika tidak ditangani dengan baik. Sejarah membuktikan ancaman terhadap identiti nasional bukan sekadar dari sudut ideologi, tetapi juga dalam bentuk perpecahan sosial. 

“Semasa era Darurat (1948-1960) dan Darurat Kedua (1968-1989), Malaysia berdepan dengan gerakan komunis yang cuba mengubah struktur pemerintahan negara. Malaysia berjaya mengekalkan keamanan kerana prinsip toleransi dan saling menghormati antara kaum. Namun, apabila terdapat gerakan mengangkat satu identiti tertentu melebihi lain, ia boleh mengakibatkan ketidakseimbangan sosial yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis

Pada Rabu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat satu video tular berkaitan kewujudan sebuah pertubuhan tidak berdaftar dikenali sebagai Persatuan Promosi Penyatuan Secara Aman Satu China di Malaysia atau Persatuan Penyatuan Satu Cina pada Isnin lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menerusi kenyataan berkata, video berdurasi dua minit 57 saat itu dihuraikan dengan suara latar bahasa asing yang mendakwa bahawa pertubuhan terbabit mempunyai kecenderungan mempromosi fahaman dan amalan komunis di Malaysia.

Mengulas lanjut, Nur Ashikin menegaskan, jika terdapat gerakan yang mempromosikan satu identiti luar secara berlebihan, ia boleh melemahkan semangat kebangsaan dan mewujudkan polarisasi dalam masyarakat.

Sehubungan itu, katanya, penting bagi rakyat Malaysia memahami bahawa walaupun hubungan budaya dan sejarah dengan negara lain tetap wujud, identiti kebangsaan harus diutamakan untuk memastikan kestabilan negara.

“Malaysia adalah unik kerana kemajmukannya terdiri daripada pelbagai kaum, agama, dan budaya. Identiti nasional yang terbina sejak kemerdekaan berasaskan konsep kebersamaan, di mana rakyat menerima perbezaan dan hidup dalam keharmonian berdasarkan prinsip Rukun Negara. Namun, ancaman boleh muncul dalam pelbagai bentuk, termasuk penyebaran ideologi asing yang tidak selari dengan asas kenegaraan kita. 

“Jika video itu benar ada unsur agungkan ideologi luar, ia boleh timbulkan kegelisahan di kalangan rakyat, khususnya mereka yang melihatnya sebagai ancaman kepada struktur sosial sedia ada. Cabaran utama perpaduan kaum adalah mengekalkan keseimbangan antara identiti etnik dan identiti nasional. Setiap komuniti mempunyai sejarah, budaya, dan hubungan dengan negara asal nenek moyang mereka, tetapi pada masa yang sama, mereka juga sebahagian daripada Malaysia,” katanya.

Sementara itu, bagi mengelakkan ancaman itu berulang, Nur Ashikin berkata, kerajaan dan masyarakat perlu bersama-sama mengambil langkah proaktif dan holistik dalam memperkukuhkan identiti kebangsaan selain perpaduan masyarakat majmuk.

Beliau berpandangan, perpaduan tidak hanya boleh dipromosikan melalui dasar kerajaan, tetapi mesti diterapkan dalam kehidupan seharian rakyat, dengan mengubal polisi perumahan, sistem pendidikan dan aktiviti kemasyarakatan dengan matlamat menggalakan interaksi antara kaum.

“Sebagai contoh, skim perumahan mampu milik yang menggalakkan kepelbagaian etnik dalam satu kawasan kediaman boleh membantu rakyat membina hubungan yang lebih erat antara satu sama lain.Sistem pendidikan pula perlu menekankan kepentingan sejarah nasional dan peranan setiap kaum dalam membentuk Malaysia moden. 

“Subjek sejarah harus lebih inklusif dan menampilkan naratif mencerminkan perpaduan rakyat, bukannya hanya tertumpu pada satu sudut pandang sahaja selain keperluan pendidikan sivik diperkasa untuk memastikan generasi muda memahami konsep kesetiaan kepada negara dan kepentingan perpaduan kaum dalam mengekalkan kestabilan,” katanya.

Beliau juga berpandangan, kerajaan perlu memperkukuhkan pemantauan terhadap kandungan yang berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat, namun harus bersifat seimbang dengan menghormati kebebasan bersuara serta propaganda subversif dapat dikawal dengan lebih efektif.

“Media memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi masyarakat. Oleh itu, kerajaan perlu menyokong penghasilan kandungan yang mengangkat naratif kebangsaan dan perpaduan. Dokumentari, filem, serta program television yang menampilkan kisah kejayaan masyarakat majmuk Malaysia perlu diperbanyakkan untuk menanamkan rasa bangga terhadap identiti nasional.

“Video tular berunsur komunis itu bukan sekadar isu keselamatan, namun cabaran besar terhadap identiti dan perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia. Dalam menghadapi ancaman seperti ini, tindakan penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak mencukupi. Kerajaan dan rakyat perlu bekerjasama untuk memperkukuhkan kesedaran tentang identiti nasional, 

“Tingkatkan juga integrasi sosial, dan mengawal penyebaran propaganda yang boleh menggugat keharmonian negara. Jika langkah-langkah itu dilaksanakan dengan baik, Malaysia bukan sahaja dapat mempertahankan perpaduan nasional, tetapi juga memastikan bahawa identiti masyarakat majmuk yang menjadi asas negara ini terus kekal kukuh untuk generasi akan datang,” katanya.

Related Posts

Cadang tangguh PRN perlu dinilai dengan realistik

KUALA LUMPUR – Cadangan supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor ditangguhkan perlu dinilai secara realistik khususnya jika alasan penangguhan itu dikaitkan dengan faktor geopolitik semasa. Setiausaha Agung PKR,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kerajaan selaras dasar ekonomi tangani tekanan kos, pastikan bekalan terus terjamin

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyelaras semula dasar ekonomi bagi mengurus peningkatan kos, di samping memastikan bekalan dan keperluan asas rakyat kekal mencukupi dalam menghadapi krisis bekalan global. Menteri Ekonomi, Akmal…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Muhyiddin lebih utamakan kedudukan Ketua Pembangkang berbanding bantu rakyat

Muhyiddin lebih utamakan kedudukan Ketua Pembangkang berbanding bantu rakyat

Ketua Pengarah JUPEM didakwa salah guna kedudukan peroleh suapan lebih RM130,000

Ketua Pengarah JUPEM didakwa salah guna kedudukan peroleh suapan lebih RM130,000

Chelsea kalah lagi, dibelasah Brighton 3-0

Chelsea kalah lagi, dibelasah Brighton 3-0

Pelajar diminta tidak sia-siakan peluang pendidikan tinggi percuma

Pelajar diminta tidak sia-siakan peluang pendidikan tinggi percuma

Polis selesai kes pecah rumah, dua suspek ditahan

Polis selesai kes pecah rumah, dua suspek ditahan

Trump umum lanjut tempoh gencatan senjata tanpa persetujuan Iran

Trump umum lanjut tempoh gencatan senjata tanpa persetujuan Iran