GAZA – Seluruh keluarga Palestin yang berada di utara Gaza telah musnah akibat serangan kejam rejim Israel ke atas wilayah bersama kepungan ketat tanpa henti ditambah pula dengan bekalan makanan dan keperluan asas yang hampir putus, kata seorang pengarah hospital pada Isnin.
Sejak 5 Oktober, Israel telah melancarkan operasi darat berskala besar di utara Gaza kononnya untuk menghalang kumpulan perjuangan Palestin, Hamas, daripada berkumpul semula, namun, rakyat Palestin menuduh Israel cuba menduduki kawasan itu dan memaksa pengusiran penduduknya, lapor Anadolu.
“Kami kini hidup dalam keadaan di mana seorang syahid mengucapkan selamat tinggal kepada seorang lagi syahid,” kata Hussam Abu Safiya, Pengarah Hospital Kamal Adwan di utara Gaza.
Lebih daripada 2,000 rakyat Palestin telah terbunuh dan lebih 6,000 lagi cedera dalam serangan Israel, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Abu Safiya menyeru perlindungan bagi hospital itu, yang telah berulang kali diserang oleh serangan udara Israel di mana dalam serangan terbaharu, rejim telah menyasarkan jabatan kecemasan hospital dan menghentikan operasi hospital akibat serpihan yang berterbangan dan panik di kalangan pesakit.
“Penyerangan ke atas hospital adalah jenayah terhadap sistem kesihatan, dan dunia mesti menghentikannya dengan segera kerana kami merawat yang cedera dan yang terluka di tengah-tengah serangan udara Israel yang berterusan.
“Kami merayu kepada dunia untuk menghentikan mesin pembunuh Israel dan menghentikan penyerangan terhadap hospital yang sepatutnya dilindungi secara antarabangsa,” kata Abu Safiya.
Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh awal Isnin apabila serangan udara Israel meruntuhkan sebuah bangunan kediaman di bandar Beit Lahia di utara, berhampiran hospital itu, menurut sumber perubatan.
Dalam serangan terbaharu pada Isnin, rejim Israel telah melancarkan empat serangan udara ke atas beberapa keluarga di Gaza, mengakibatkan 76 kematian dan 158 individu lain mengalami kecederaan.
Serangan terbaharu itu sekaligus telah menambah angka korban akibat serangan Israel di Gaza kepada 43,922 kematian, 103,898 kecederaan dan puluhan ribu lagi dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan.







