BEIRUT – Setakat 18 November, angka korban akibat serangan rejim Israel terhadap Lubnan sejak Oktober tahun lalu telah meningkat kepada 3,516 kematian dan 14,929 kecederaan.
Dalam serangan terbaharu, sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan 24 yang lain cedera dalam serangan udara Israel di kawasan Zuqaq al-Blat di tengah Beirut, lapor Kementerian Kesihatan Lubnan.
Serangan itu menandakan serangan bom Israel yang ketiga di pusat bandar Beirut dalam tempoh 24 jam, selepas serangan di kawasan Ras Al Naba’a dan Mar Elias, lapor Anadolu.
Satu kenyataan kementerian mengesahkan jumlah korban akibat serangan tersebut telah meragut nyawa lima warga Lubnan dan menyebabkan kecederaan pada 24 yang lain.
Sebelum ini, agensi berita rasmi Lubnan melaporkan bahawa serangan udara di Zuqaq al-Blat mengakibatkan empat kematian dan 18 cedera, walau bagaimanapun maklumat lanjut mengenai lokasi serangan dan situasi sebenar di tempat kejadian masih belum diketahui.
Zuqaq al-Blat terletak hanya 500 meter dari bangunan kerajaan dan Parlimen Lubnan.
Pada Ahad, serangan udara Israel mengenai sebuah bangunan di kawasan Ras Al Naba’a di Beirut, diikuti dengan serangan lain yang menyasarkan daerah Mar Elias, mengakibatkan puluhan kematian dan kecederaan.
Israel melancarkan kempen udara di Lubnan terhadap sasaran yang didakwa milik kumpulan Hizbullah pada akhir September, selepas setahun peperangan merentas sempadan berikutan perang berterusan Israel di Gaza.
Pada Isnin, Kementerian Kesihatan mengumumkan angka kematian yang rasmi akibat serangan udara Israel yang menyasarkan Ras Al Naba’a, Beirut telah mengorbankan tujuh orang, termasuk seorang wanita, dan mencederakan 16 yang lain.
Serangan di Mar Elias mengakibatkan empat kematian, termasuk seorang wanita, dan 29 kecederaan, menurut kementerian tersebut.







