
TAWAU – Usaha mempromosikan skim pinjaman khas untuk usahawan orang kurang upaya (OKU) akan dipergiat bagi memastikan golongan itu mendapat bantuan sewajarnya melalui skim yang diperkenalkan.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata,
pihaknya juga sentiasa memantau pelaksanaan program sedia ada iaitu inisiatif khas OKU melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).
“Bagaimanapun, sambutannya tidak sampai sasaran dan inilah cabarannya mungkin ramai OKU tidak tahu berkenaan skim ini dan ini saya akan teliti tapi sambutan memang agak kurang berbanding jumlah pembiayaan yang diperuntukkan untuk mereka.
“Ini kita akan ambil tindakan di peringkat Kementerian kerana agensi keusahawanan lain dan KUSKOP ingin lihat OKU ini terlibat dalam aktiviti keusahawanan dan kita mahu bantu mereka seperti yang lain.
“Sbab itu juga kita ambil bahagian dalam program dan anjuran bersama kementerian lain supaya skim seperti untuk belia, wanita, OKU, siswazah, bekas penjawat awam atau veteran lebih mendapat sambutan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas beramah mesra bersama-sama dengan usahawan tempatan pada penutupan Program Maju Usahawan MADANI 2025 di Majlis Perbandaran Tawau (MPT), pada Sabtu.

Mengenai program itu, Ewon berkata, ia adalah hasil libat urus bersama Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Usahawan (CEDAR) dan ditawarkan kepada usahawan-usahawan tumpuan kementerian iaitu usahawan mikro dan usahawan baharu.
“Sejak penubuhannya pada tahun 2013, CEDAR telah melatih lebih 82,000 usahawan dan kini turut terlibat dalam penganjuran program pembangunan kapasiti di peringkat ASEAN.
“Antara modul yang ditawarkan termasuklah Strategi Pengurusan Kredit, e-Invoicing, Kecerdasan Buatan (AI), Adaptasi Teknologi, Pengurusan Perniagaan, Halal, dan ESG.
“Kesemua modul ini direka untuk memperkukuh daya saing, keupayaan inovasi dan tahap pengetahuan para usahawan,” tambahnya.
Difahamkan, lebih 1,000 usahawan menyertai program berkenaan dan menerima bimbingan dari CEDAR.








