
KOTA KINABALU – Kerajaan terus memperkukuh usaha penyampaian maklumat sahih kepada rakyat menerusi program komuniti yang menekankan peranan Key Communicator (KAWAN) sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat dalam mendepani cabaran lambakan maklumat tidak sahih di media sosial.
Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Zon Sabah & WP Labuan, Milus Alu @ Abd Wahad berkata, peranan komuniti setempat amat penting dalam memastikan dasar dan inisiatif kerajaan dapat disampaikan dengan tepat, cepat dan berkesan hingga ke peringkat akar umbi.
“Pemimpin-pemimpin setempat memikul tanggungjawab besar sebagai ejen penggerak yang menghubungkan denyut nadi rakyat di peringkat akar umbi dengan dasar-dasar kerajaan.
“Kita tidak mahu ada jurang maklumat, jadi peranan KAWAN. adalah membantu kerajaan memastikan setiap inisiatif kesejahteraan rakyat dapat disampaikan secara tepat dan pantas.
“Keberkesanan penyampaian ini adalah kunci untuk memastikan tiada golongan yang terpinggirdan akhirnya akan memperkukuh tekad kerajaan membina masyarakat yang sejahtera dan bermaklumat selaras dengan nilai teras Malaysia MADANI,” ujarnya semasa merasmikan Program KAWAN di NADI Membakut pada Khamis.
Dalam pada itu, Milus memaklumkan, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara melalui pelbagai mekanisme bantuan yang telah dirancang dan dilaksanakan secara berterusan.
“Kita tidak boleh menafikan situasi ekonomi global ketika ini turut dipengaruhi oleh ketidaktentuan termasuk konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada rantaian bekalan serta harga bahan api.

“Walaupun dalam keadaan krisis, kerajaan kekal komited menjaga kebajikan rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk subsidi bersasar dan bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta program perumahan Rumah SMJ, Bantuan RM100 SARA (Sumbangan Asas Rahmah) kepada rakyat berusia 18 tahun ke atas, subsidi petrol & diesel dan sebagainya.
“Semua bantuan ini adalah bagi membantu mengurangkan kos sara hidup dan memastikan bantuan sampai secara lebih berfokus kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Perkembangan ini memerlukan kerajaan untuk sentiasa peka dan mengambil langkah intervensi yang bersesuaian demi melindungi kebajikan rakyat,” kongsinya.
Selain di NADI Membakut, program yang sama turut diadakan di NADI Tenambak, Kuala Penyu pada sebelah petangnya.
Dalam kedua-dua program, para peserta turut didedahkan kepada isu keselamatan digital menerusi ceramah berkaitan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang memberi penekanan terhadap ancaman siber, keselamatan internet dan tanggungjawab pengguna dalam penggunaan media sosial secara beretika.
Hampir 100 orang peserta yang terdiri dari pemimpin-pemimpin masyarakat antaranya Penolong Pegawai Daerah Kuala Penyu, pegawai Pejabat Mahkamah Anak Negeri dan pegawai Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Pemaju Mukim, Pemaju Masyarakat, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Ketua-Ketua Kampung menyertai kedua-dua program berkenaan.






