
PUTRAJAYA – Sebagai antara negara berkemampuan tidak salah tampil kerajaan Malaysia memberikan bantuan perubatan bagi membawa 41 rakyat Palestin yang cedera akibat serangan tentera rejim Israel di Gaza.
Walau bagaimanapun, terdapat maklum balas sesetengah pihak terhadap keputusan Kerajaan Perpaduan membawa masuk rakyat Palestin yang cedera ini dikatakan menggunakan duit rakyat dan bertujuan kepentingan politik semata-mata.
Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan berkata, ia merupakan usaha murni kerajaan hasil kesepakatan jemaah Menteri dan sokongan rakyat adalah usaha yang termampu untuk membantu mereka di Semenanjung Gaza.
“Kita tak mampu menghentikan peperangan di Gaza tetapi kita mampu meredakan keadaan apa yang dialami penduduk Gaza.
“Sama juga seperti situasi Singapura melakukan ‘air drop’ (bantuan makanan), kalau dituduh bahawa perkara ini hanyalah propaganda semata-mata memang betul kerana ‘air drop’ ini hanyalah untuk ‘public relation’ kerana ia tidak meringankan beban yang dialami penduduk Gaza.
“Kalau kita hendak lihat dari sudut politik semata-matalah dan itu hakikatnya ‘air drop’ tidak akan meredakan keadaan sengsara mereka di Gaza tetapi dapat mengurangkan sedikit kerana ada bahan makanan yang di ‘air drop’ dari udara,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press pada Sabtu.
Menurut Azmi, dengan usaha kecil ini, setidak-tidaknya Malaysia berusaha dengan kudrat yang termampu selain menggunakan cara diplomasi yang telah lama dinyatakan di pentas antarabangsa.
Tambah beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendapat sedikit keistimewaan ‘manfaat politik’ tetapi itu adalah hasil positif kerana memberikan rawatan dan layanan yang terbaik kepada penduduk Gaza.
“Tetapi kita lakukan yang boleh memberi keredaan sedikit kepada penduduk Gaza.
“Jadi itulah rancangan kita jangan kita pandang dari sudut politik semata-mata atau pun dengan lebih tepat lagi mungkin ada rasa iri hati kerana manfaat politik itu akan oleh Perdana Menteri kerana memberikan khidmat kesihatan terbaik kepada penduduk Gaza.
“Itulah yang perlu kita korbankan sedikit sebanyak kerana apa yang dialami oleh penduduk Gaza adalah sesuatu yang tidak patut dialami oleh seorang manusia itu,” katanya.
Pada Khamis, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali, menegaskan rakyat Palestin yang cedera dan kini menerima rawatan di Malaysia tidak akan tinggal di negara ini secara kekal.
Walid turut terkejut terhadap reaksi negatif segelintir rakyat Malaysia atas inisiatif kerajaan Malaysia membantu rakyat Palestin.
Beliau menggesa rakyat Malaysia untuk melihat inisiatif itu melalui kaca mata kemanusiaan dan bukannya politik.