
KOTA KINABALU – Pemberian bantuan kewangan kepada rakyat Malaysia tidak berdasarkan konsep kebajikan kerajaan (welfare state) atau hanya diberikan berdasarkan kelayakan dan bukan hak.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal berkaitan, proses pemberian bantuan itu mengambil kira potensi yang ada pada setiap penerima bantuan yang masih produktif ke arah hidup berdikari.
“Permohonan yang lengkap akan disiasat dan dipertimbangkan tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan jantina.
“Bantuan kewangan kebajikan adalah bersifat sementara bagi membantu individu atau keluarga pemohon yang berkeperluan agar dapat meneruskan kehidupan yang lebih baik dan berkualiti.
“Pemberian bantuan ini berdasarkan prinsip kerja sosial untuk meningkatkan kefungsian sosial mereka,” ujarnya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Edna Jessica Majimbun pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17, pada Rabu.
Menurut Rina, menjadi tanggungjawab setiap penerima bantuan atau klien produktif yang diluluskan untuk mengemukakan permohonan kaji semula dalam tempoh yang ditetapkan.
“Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan bantuan ditamatkan,” tegasnya.
Mengulas lanjut mengenai Skim Bantuan Produktif (BKK, EPOKU, BAP, SBAM, EBAY), Rina berkata, penamatan itu dibuat melalui proses kaji semula bagi mengenal pasti peningkatan pendapatan atau tahap sosioekonomi klien berdasarkan beberapa perkara.
“Antaranya, pendapatan isi rumah melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), meninggal dunia, tidak dapat dihubungi, maklumat tidak sahih atau meragukan dan lain-lain faktor munasabah.
“Pemohon atau klien yang bantuannya ditamatkan tetapi masih berkeperluan, boleh mengemukakan permohonan baharu dengan menghantar borang permohonan bersama dokumen sokongan lengkap di Pejabat Kebajikan Bahagian atau daerah masing-masing.
“Permohonan juga boleh dibuat secara manual di pejabat kebajikan atau secara dalam talian melalui Sabah Welfare Aid Application (SWAA) bagi bantuan negeri serta Sistem eBantuan bagi bantuan Persekutuan,” jelasnya.
Foto: Jabatan Penerangan Sabah



