
MIRI – Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 melabuhkan tirainya pada 24 Ogos ini.
SUKMA pada kali ini menyaksikan 37 jenis sukan melibatkan 488 acara yang diadakan 9 bahagian di seluruh Sarawak.
Bagi memastikan acara sukan tersebut berjalan dengan lancar khususnya Miri, penyertaan sukarelawan adalah 300 orang yang mempunyai latar belakang yang berbeza.
Salah seorang pegawai berkongsi pengalamannya, Zaini Abdul Talib berasal dari Papar, Sabah yang turut bertugas sebagai Pegawai Yang Bertanggungjawab (PIC) dalam pengurusan kesukarelawan AM SUKMA di Miri.
“Sukarelawan memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan kejayaan penganjuran SUKMA di Sarawak,” katanya.
Selain itu, Zaini yang juga Penolong Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Limbang turut berkongsi antara cabaran sebagai sukarelawan ialah pembahagian tugas.
“Terdapat ramai dalam kalangan kami berusia lingkungan awal 20-an hingga 60-an. Jadi, kami perlu memastikan semua sukarela ditugaskan mengikut kesesuaian mereka,” katanya lagi.
Tambah Zaini, ini memastikan kelancaran acara temasya tersebut selain menjadi tulang belakang penganjuran SUKMA.
Perbezaan kaum dan usia bukan jadi penghalang
“Perbezaan kaum dan usia bukan penghalang kepada kami malah mengukuhkan lagi semangat perpaduan,” ujarnya.
Malah, kata Zaini lagi, semua sukarelawan memberi kerjasama yang cukup baik walaupun berbeza usia dan kaum.
“Saya dapat melihat keharmonian dan perpaduan itu terjalin dengan baik melalui sikap yang lebih terbuka daripada mereka,” katanya lagi.
Sementara itu, Norliza berusia 54 yang berbangsa Melayu dari Saberkas Cawangan Piasau turut berkongsi pengalaman bekerjasama dengan sukarelawan acara ragbi.
“Saya ditugaskan di bahagian acara ragbi dan mendapati ramai pasukan saya terdiri daripada pelbagai kaum dan usia,” katanya.
Jelas Norliza, kebanyakan mereka merupakan kaum Kedayan, Kenyah, Melanau, Iban dan Kadazandusun.
“Perbezaan kaum dan usia bukan penghalang kepada saya, malah saya berbangga dapat bekerjasama dengan mereka.
“Saya berharap lebih ramai golongan belia akan menyertai kesukarelawan kerana dapat mengukuhkan semangat perpaduan.
Sabri Amin, 41, berbangsa Kedayan yang juga merupakan ejen hartanah berkata pengalaman menjadi sukarelawan memberi peluang untuk belajar bahasa dan budaya kaum lain.
“Saya berpeluang mengetahui dan mempelajari perkataan baharu daripada bahasa kaum lain. Sebagai contoh, perkataan ‘onsoi’ dalam bahasa Dusun bermaksud semangat.
Kata Sabri, penglibatan dalam sukarelawan SUKMA dapat menyemarakkan semangat perpaduan melalui istilah bahasa yang positif.

Hubungan akrab seperti ahli keluarga sendiri
Sukarelawan SUKMA, Siti Nurain Drahman, 32, berkongsi pandangan bahawa perbezaan usia bukan menjadi penghalang, malah mengukuhkan hubungan sesama masyarakat majmuk.
“Di tempat kerja saya, terdapat banyak rakan sekerja berbeza usia dan latar belakang kaum. Bagi saya, perkara itu bukan masalah kerana ia mengukuhkan lagi perpaduan masyarakat.
“Ikatan yang asing sebelum ini seperti hubungan kekeluargaan melalui sukarelawan.
“Salah seorang sukarelawan yang agak berusia, Puan Norliza dalam kumpulan kami tetapi sikap keprihatinan yang ditunjukkan menjadikan kami semakin bertambah erat.
Golongan belia yang berusia awal 20-an, Bato dan Syafiq berbangsa Kenyah dan Melanau beranggap perpaduan dapat dipupuk melalui semangat bermuafakat biarpun terdapat perbezaan latar belakang usia dan kaum.
“Saya berasa sangat seronok sehingga kami dapat merasakan seperti satu keluarga,” kata Syafiq berusia 25 tahun.
“Saya bukan sahaja dilayan dengan baik tetapi mereka juga menganggap saya seperti ahli keluarga sendiri,” ujar Bato yang berusia 20 tahun.
Tidak dinafikan kesukarelawanan dalam SUKMA menjadi medium yang sangat baik untuk mengukuhkan perpaduan rakyat Malaysia.
Ternyata perbezaan itu sebenarnya dapat menyatupadu masyarakat yang berbilang kaum dan agama.