
KOTA KINABALU – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) memainkan peranan penting sebagai ‘jambatan Sabah di Putrajaya’ dalam memperjuangkan pelbagai isu negeri termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut kenyataan bersama Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick dan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, perjuangan ‘Sabah First’ memerlukan kerjasama semua parti politik di Sabah yang harus dijayakan melalui hubungan baik di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri secara perundingan yang bijaksana bukannya secara konfrontasi.
“UPKO dan PBRS menyuarakan pelbagai isu Sabah dalam platform gabungan politik masing-masing termasuk di Kabinet.
“Ini terbukti berkesan dengan sembilan tuntutan di bawah MA63 diselesaikan oleh Kerajaan MADANI hari ini, manakala empat telah diselesaikan oleh kerajaan terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.
Tambahnya, UPKO dan PBRS akan terus memperjuangkan tuntutan MA63 serta memastikan pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) 2026-2030.
Kedua-kedua parti juga bersetuju supaya aspirasi tempatan harus menjadi asas kepada perundingan gabungan besar politik Sabah bagi menghadapi pilihan raya.
“Tanpa menjejaskan kestabilan politik dan keharmonian rakyat yang diperlukan untuk membangunkan masa depan Sabah dan menjadikan Persekutuan Malaysia lebih baik,” ujarnya.
Tegasnya, UPKO dan PBRS akan terus menyumbang kepada perpaduan rakyat Sabah serta menyokong kesatuan rakyat Malaysia secara keseluruhan.





