
KOTA SAMARAHAN – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bakal mengeluarkan kenyataan tambahan berhubung isu yang tular mengenai kejadian melibatkan kucing di kawasan universiti tersebut.
Perkara ini diumumkan susulan mesyuarat dalaman bersama pihak universiti, yang turut melibatkan kerjasama dengan pihak polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Kenyataan awal yang dikeluarkan semalam telah memperjelaskan situasi sebenar. Namun, terdapat maklumat yang dikatakan telah diseleweng sehingga mencetuskan kekeliruan.
Menurut Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit, berdasarkan siasatan awal, insiden itu melibatkan tiga ekor anak kucing, bukan kucing dewasa seperti yang didakwa dalam gambar yang tular.
“Salah satu anak kucing yang lemah telah meninggal dunia, dan ketika dikuburkan, namun ibunya telah bertindak memakan anak tersebut.
“Perkara ini telah disalah tafsir sehingga menyebabkan spekulasi yang tidak tepat,” jelasnya lagi ketika ditemui media semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UNIMAS pada Isnin.
Beliau juga menambah bahawa pihak universiti tidak menyembunyikan fakta dan telah menyerahkan siasatan kepada pihak polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk memastikan ketelusan dalam menangani isu ini.
UNIMAS turut menegaskan universiti tersebut adalah institusi mesra haiwan.
Sebagai langkah proaktif, pihak universiti merancang untuk menubuhkan sebuah persatuan pencinta haiwan yang akan memantau kebajikan haiwan terbiar, bukan sahaja di kampus tetapi juga di universiti lain.
“Kami berharap langkah ini dapat memastikan haiwan-haiwan seperti kucing dan anjing terbiar mendapat perlindungan yang lebih baik. Apa yang berlaku kali ini adalah kes terpencil dan tidak mencerminkan dasar mesra haiwan yang telah lama diamalkan di UNIMAS,” tambahnya.
Sementara itu, UNIMAS menggesa orang ramai agar berhenti menyebarkan maklumat yang tidak sahih.
“Kami sedang menunggu hasil siasatan daripada pihak berkuasa dan akan berkongsi perkembangan terkini dengan masyarakat,” katanya.
Isu ini telah menarik perhatian netizen, dengan pelbagai reaksi terhadap gambar dan maklumat yang tersebar di media sosial.
Pihak universiti berharap kenyataan tambahan yang bakal dikeluarkan akan meredakan keadaan dan memperjelas fakta sebenar.




