ASAJAYA – Sebanyak 66 surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri diserahkan kepada 57 penerima dari Kampung Moyan Laut, Asajaya dalam satu majlis khas yang berlangsung di Dewan Kampung Moyan Laut pada Isnin.
Majlis penyerahan itu disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yang mewakili Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Menurut beliau, kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam memastikan hak milik tanah penduduk kampung tradisional terus diiktiraf menerusi pelaksanaan Program Pengukuran Kampung Tradisional.
“Program ini adalah jaminan kerajaan dalam mengiktiraf pemilikan tanah penduduk dengan mengeluarkan surat hak milik yang sah di sisi undang-undang tanpa sebarang bayaran,” katanya.
Beliau juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata pengeluaran surat hak milik ini bukan sahaja menjamin keselamatan pemilikan, malah dapat mengelakkan pertikaian atau pencerobohan sempadan tanah pada masa akan datang.
“Tanah yang diberikan di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri adalah pegangan kekal, bebas daripada cukai tanah dan premium – ia akan kekal menjadi milik kita selagi ada bulan dan bintang,” tambahnya.
Setakat ini, sebanyak 58,194 lot kediaman kampung di seluruh Sarawak telah disukat di mana 52,915 daripadanya telah pun menerima surat hak milik.
Beliau turut menyeru agar tanah yang dimiliki tidak dijual sewenang-wenangnya demi keuntungan jangka pendek, sebaliknya dimanfaatkan untuk pembangunan masa depan keluarga dan komuniti.
“Kita harap tanah ini digunakan sebaik-baiknya, dibangunkan atau diusahakan agar memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.





