
“BODOHLAH UMNO jika meninggalkan kawan yang baik dan banyak menolong kita,” kata Datuk Dr Azhar Ahmad.
Ahli Dewan Negara itu berkata, UMNO tidak sesekali akan mengkhianati sekali gus melupakan jasa rakan yang baik ketika parti itu berhadapan ujian besar selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Kita dah jadi kerajaan, kita adalah parti komponen Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dapat membela nasib rakyat, memajukan negara dan menegakkan syiar Islam.
“Apa nak lagi? Dari kita nyawa-nyawa ikan, UMNO dapat bersama menjadi kerajaan dan diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri, tujuh jawatan menteri, beberapa jawatan timbalan menteri dan GLC sedangkan kita hanya menang 26 kerusi Parlimen.
“Bersama PKR, Amanah, DAP, GPS dan GRS kita dapat bentuk politik yang stabil, jemaah menteri yang harmoni, jadi adalah ruginya jika UMNO termakan hasutan untuk bersama Bersatu dan meninggalkan Kerajaan MADANI,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Azhar yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas berkata, naratif yang ditimbulkan oleh beberapa pemimpin Bersatu ketika ini kononnya parti itu perlu bekerjasama dengan UMNO demi membela nasib orang Melayu dan Islam adalah retorik politik semata-mata.
“Kewujudan Bersatu pun kita dah tahu matlamatnya ialah untuk menggantikan UMNO, sekarang mereka tersepit dan kita masih ingat bagaimana mereka membuli kita dan memecahbelahkan parti kita dahulu, adakah kita nak masuk lubang buat kali kedua?
“Apa yang mereka tak kata kepada UMNO, kepada pemimpin UMNO, setiap hari mereka mengeji Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sekarang bila mereka dah nak menopaus mereka tiba-tiba jadi jinak nak berbaik dengan UMNO.
“Selain mereka tandus modal politik, saya lihat Bersatu ini sedang menuju ke proses menopaus. PN sedang bergolak retak menanti belah.
“Mereka sedang nak tinggalkan Pas. Pas dan mereka tak sama pemikiran dan Pas tak akan beri peluang kepada Bersatu yang dilihat tak boleh dipercayai. Itu sebenarnya yang berlaku,” katanya.
Mengimbas kembali, Azhar menjelaskan, hala tuju UMNO adalah hasil kebijaksanaan Ahmad Zahid dalam mengemudi pelayaran UMNO keluar dari ribut taufan.
“Ibarat kapten kapal, Presiden lebih tahu dan bijak untuk membawa kapal ke lautan tenang, jauh dari ribut taufan dengan memilih patuh titah Agong untuk bersama Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Bukan macam Bersatu, angkuh dengan selamba saja menolak titah Agong. Andai kata mereka (PN) setuju tentu UMNO dan BN jadi pembangkang dan mujurlah perkara itu tidak terjadi.
“Ditambah dengan layanan istimewa Perdana Menteri, beri UMNO jawatan TPM, Menteri dengan portfolio yang dekat dengan masyarakat, jadi tiada sebab UMNO nak khianati kerajaan yang ada ini,” katanya.
Secara sinis, Azhar turut mempersoalkan Bersatu ketika ini yang seolah-olah lupa diri bahawa parti itu adalah pembangkang.
“Tak malukah Bersatu, sudahlah pembangkang, letak pula syarat kepada UMNO jika hendak bekerjasama mereka kena tinggalkan PH dan DAP.
“Siapa Bersatu ni? Mereka lupa mereka adalah pembangkang. Setakat ini PH mahu pun DAP tiada masalah, malah kami membentuk pasukan yang kuat bekerja dengan semangat harmoni.
“Adalah bodoh UMNO jika termakan hasutan gila mereka dengan mengkhianati Kerajaan Perpaduan dan melupakan jasa kawan yang baik,” katanya.







