
KUCHING – “Dalam bulan Ramadan yang penuh berkah, kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan agama dalam keadaan harmoni,” kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop.
Beliau berkata, negara ini bukan dibentuk secara kebetulan tetapi pembentukan Tanah Melayu dan seterusnya pembentukan negara Malaysia menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Apakah menjadi kunci kepada membentuk sebuah negara? Kata kuncinya adalah perpaduan.
“Kita dapat melihat rakan-rakan yang bukan Islam turut hadir meraikan berbuka puasa bersama-sama rakan yang beragama Islam,” kata beliau.
Katanya, keharmonian yang ada pada hari ini merupakan visi yang dimahukan nenek moyang kita dalam membentuk negara Malaysia.
Ismail berkata demikian ketika berucap pada Program Ihya Ramadan: Berkat Musyawarah Malaysia MADANI Bekerja Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Zon Sarawak di Masjid Ar-Rahman di Kuching pada Isnin.
Sementara itu, beliau berkata, perpaduan bukan satu pilihan dalam konteks Malaysia.
“Kita boleh berbeza pandangan dan pendapat tetapi akhir sekali kita mesti beradab dan penuh dengan kebijaksanaan serta hikmah,” jelas beliau lagi.
Menurutnya, perbezaan itulah membentuk identiti kita sebagai anak bangsa Malaysia.







