
KUANTAN – Persepsi dimainkan pihak tertentu kononnya kerajaan Pahang tidak memberi keutamaan kepada usaha memartabatkan syiar Islam adalah tidak tepat.
Perkara itu juga disifatkan sebagai tindakan terdesak untuk mengelirukan rakyat di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Lantikan) Pahang, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah berkata, kerajaan Pahang secara konsisten menyediakan peruntukan besar bagi tujuan memperkasakan syiar Islam di negeri ini.
“Tindakan kumpulan tertentu melabelkan kerajaan Pahang sebagai tidak Islamik adalah ‘kurang cermat’ dan boleh dikatakan sebagai pandangan yang ‘melulu’ tanpa melihat kepada usaha dilakukan kerajaan negeri.
“Kalau kita lihat kepada peruntukan diumumkan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail… peruntukan bagi hal ehwal Islam menunjukkan peruntukan peningkatan ketara dari tahun ke tahun.
“Bermula dengan RM147 juta pada 2022, meningkat kepada RM148 juta (2023), RM162 juta (2024), RM196 juta (2025) dan seterusnya RM235 juta pada tahun ini, ia menjelaskan bahawa kerajaan Pahang ini sangat komited dalam memperkasakan syiar Islam,” katanya.
Beliau menjelaskab, peningkatan berterusan itu turut menunjukkan kerajaan Pahang bukan sekadar menyuarakan kepentingan Islam dalam ucapan, sebaliknya menterjemahkannya melalui dasar, tindakan serta komitmen kewangan yang besar dan berterusan.
“Fakta dan angka ini adalah bukti kukuh yang tidak boleh dinafikan atau diputarbelitkan mengikut kepentingan politik sempit mana-mana pihak,” tambahnya.
Ahmad Irshadi dalam masa yang sama memaklumkan, usaha memperkukuhkan syiar Islam adalah selari dengan tujuh tonggak dalam gagasan ‘Aspirasi Pahang 1st’ yang diperkenalkan Wan Rosdy.
Dengan meletakkan ‘Memperkasa Islam’ sebagai tonggak utama pentadbiran negeri, beliau berkata, perkara itu diikuti pemeliharaan ‘Adat Resam Melayu’ sebagai asas pembentukan jati diri dan keharmonian masyarakat.
“Kedua-dua prinsip ini menjadi teras hala tuju kerajaan Pahang dan diterjemahkan secara nyata melalui pelaksanaan dasar, program serta peruntukan kewangan yang signifikan.
“Justeru, dakwaan kononnya kerajaan Pahang tidak bersifat Islamik adalah lari daripada fakta sebenar selain berniat jahat.
“Ia juga dibuat dengan tujuan mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
“Tuduhan sedemikian jelas memperlihatkan sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang sanggup memanipulasi sentimen agama dan budaya demi kepentingan politik murahan,” tegasnya.







